Wednesday, July 05, 2006

Mak Yong at Magdalena Fest Singapore

Mak Yong Di Magdalena
Antara Teater Wanita Antarabangsa di Singapura


Seperti “Nasib Si Burung Pungguk’, mendayu-dayu di dahan kayu, memanggil purnama di malam kelam, tiada siapa yang ingin tahu, rupa yang buruk semakin suram. Begitulah juga Mak Yong di Kelantan, terus dipinggirkan apabila diharamkan pada tahun 1991, setelah Parti Islam SeMalaysia(PAS) memenangi pilihanraya dan memerintah negeri itu. Selain tidak membenarkan wanita membuat persembahan di khalayak ramai, Mak Yong juga dikatakan mempunyai unsur-unsur tidak Islamik dalam pembuka cerita, Mengadap Rebab. Mak Yong kini hanya dimainkan dalam cerita Dewa Muda untuk tradisi pengubatan Main Peteri di kampung-kampung terpencil.

Abdullah Nakula, historis Kelantan, pernah mengisahkan kegemilangan Mak Yong, sebagai persembahan DiRaja di bawah penjagaan Tengku Long Ghaffar, Tengku Temenggung sekitar tahun 1910 ke 1930. Tengku Long Ghaffar, mendirikan kampung seni berpagar bergelar ‘Kampung Temenggung’ di sebelah ulu Istana Balai Besar Kota Bharu, di Kubang Pasu. Kampung Temenggung dirobohkan setelah ada perpecahan di Istana Kelantan dan Tengku Long Ghaffar membawa diri ke sebuah pulau di Pattani.

Mak Yong yang dikatakan mula bertapak di Kerajaan Besar Pattani (dahulunya Kerajaan Langkasuka), merangkum Kelantan dan Terengganu dalam jajahannya. Raja-rajanya bergilir-gilir bertahta dari keturunan Pattani ke kerabat Kelantan. Tapi kegemilangan Pattani adalah semasa Raja Permaisuri Hijau(1584-1616), Biru(1616-1624), Unggu(1624-1635) dan Kuning(1635-86). Sekitar tahun 1688-1690, pemerintahan Pattani berpindah ke Kelantan dan berbalik semula sampailah kerabat Pattani memerintah Kelantan sekitar 1730. Sewaktu Peter Flores melawat Pattani pada tahun 1612 dia telah dipersembahkan dengan tarian Mak Yong dan Asyik yang dimainkan oleh wanita-wanita muda. Mak Yong menjadi seni persembahan dijajahannya di Kelantan, Besut dan Terengganu. Apabila Raja Permaisuri Biru menikah dengan Sultan Johor Riau, persembahan itu dibawa bersama ke Johor Riau. Kini orang-orang Riau masih ada serpihan seni persembahan tersebut yang masih dipanggil Mak Yong, walaupun ianya sudah dihiasi dengan tarian Ronggeng. Mak Yong Pattani juga dipengaruhi tarian Ronggeng dalam persembahannya.
Khadijah Awang, Seniman Negara, yang menonton persembahan teater tari klasik Asia Tenggara pada tahun 1968, dikatakan amat malu dengan kedaifan persembahan dari Malaysia kerana pakaian dan pemain-pemainnya yang sudah tua. Sepulangnya ke Kota Bharu, beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan Kumpulan Seri Temenggung. Sebelumnya dia Khadijah adalah seorang penari Asyik yang hanya tertarik dengan seni setelah perkahwinannya pada umur 14 tahun. Ibu mertuanya, Primadona Lagenda Mak Yong, Che Gemala menjadi gurunya. Khadijah kemudiannya memodenkan persembahan Mak Yong, dengan memendekkan waktu persembahan serta menambahkan kilauan ke dalam busana. Mak Yong dibawa menjelajah hingga ke Eropah. Khadijah Awang dianugerahkan Seniman Negara pada tahun 1999 dan meninggal dunia pada tahun 2000 dalam usia 59 tahun. Selama hayatnya beliau berusaha mengajar Mak Yong kepada generasi muda di Akademi Seni Kebangsaan, USM dan UITM serta mementaskan kreasi baru bersama Panggung Negara dan PETRONAS. Sepeninggalannya, Mak Yong terus diajar di ASK, UITM dan USM oleh pembawa-pembawa obor pelapis.

Kini Mak Yong sudah menjadi sebahagian daripada khazanah dunia apabila UNESCO mengistiharkan Mak Yong sebagai World Heritage pada tahun 2005. Mungkin khazanah ini terus dipulihara, dikembangkan dan diuruskan dengan lebih baik.

Zainab Awang, dikenali dengan nama mesranya Kak Nab atau Mek Nab, adalah seorang primadona Mak Yong yang tidak kurang hebatnya kerana kelantangan suara serta lakonannya. Mek Nab lebih dikenali di daerah permainannya di Bachok, dan bermain Mak Yong sejak berumur 13 tahun. Dia diundang untuk mengajar penari-penari Suasana Dance Company oleh Ismail Kaya Bakti untuk teater tari “Cempaka Emas”(cerita Mak Yong asalnya Raja Tangkai Hati) pada 1982. Bersama “Cempaka Mas”, Mek Nab mempersembahkan tari ‘Mengadap Rebab’ dan ‘Tari Ragam’ hingga ke Hong Kong International Arts Festival dan Asia Pacific Theater Festival di Perth, Australia. Beliau mengambl keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan usahanya sebagai pemain Mak Yong.

Keterbukaan Mek Nab di dalam prinsipnya mempersembahkan Mak Yong bersama teater kontemporari telah mengundangnya bekerjasama dengan Ramli Ibrahim dalam “Siddharta”(2003), Fauziah Nawi dalam “Orang Kota Bharu”(2002), Zulkifli Mohamad dalam “Tanah Serendah Sekebun Bunga”(2004). Sebelumnya, Mek Nab banyak berkerjasama dengan Taruwat Ismail Bakti dalam persembahan bersama Yayasan Seni di tahun 1990an. Sekarang, Mek Nab menumpukan perhatiannya kepada pengajaran Mak Yong di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UITM Shah Alam.

Tahun ini Mek Nab diundang untuk mempersembahkan Mak Yong di Magdalena Festival di Singapura pada 10-15 Julai, 2006, julung kalinya diadakan di Asia. Magdalena adalah sebuah pertubuhan penulis dan penggiat teater wanita dunia. Bermula dengan Magdalena Projek di Australia, sekumpulan anak muda dari Singapura mengambil keputusan untuk mendaftarkan Magdalena Singapura di bawah pendaftar persatuan dan mengadakan Magdalena Festival Teater Antarabangsa di Singapura. Magdalena dibantu oleh sekumpulan organisasi kerajaan, swasta dan individu di Singapura untuk menyemarakkan usaha mengenengahkan karya-karya wanita dari seluruh dunia, sekali gus bertukar ilmu serta saling berhubungan antara satu sama lain. Ini menghasilkan peluang untuk pengkarya wanita terus berkarya serta menjalinkan networking antara Asia Tenggara serta seluruh dunia.

Presiden Magdalena Singapura, Verena Tay mengungkapkan “kita harus bersatu serta berkongsi pengalaman dan belajar dari satu sama lain”. Antara nama-nama besar yang hadir di Magdalena Singapura termasuklah Jadranka Andjelic (Serbia), Ang Gey Pin (Singapore), Geddy Aniksdal (Norway), Rob Baum (US/Australia), Rosa Casado (Spain), Cristina Castrillo (Switzerland), Ananya Chatterjee (India/USA), Elizabeth de Roza (Singapore), Kerensa Dewantoro (Australia/Indonesia), Antonella Diana (Italy), Jill Greenhalgh (Wales), Bruna Gusberti (Switzerland), Deborah Hunt (Puerto Rico), In Source Theatre (Singapore), Low Yuen Wei (Singapore), Luh Luwih (Bali), Yani Mae & Women Community Bandung (Indonesia), Indija Mahjoeddin (Australia/Indonesia), Raka Maitra (India), Rita Matu Mona (Indonesia), Mime Unlimited (Singapore), Noorlinah Mohamed (Singapore), Philippine Educational Theater Association (PETA), Anita Ratnam (India), Anette Röde (Norway), Sally Rodwell (New Zealand), sacredCOW (Australia), Svarnabhumi Studio (Malaysia), Claire Wong (Singapore/Malaysia), Joanna Wong (Singapore), Wu Wen Cui (Taiwan), Anna Yen (Australia).

Ang Gey Pin misalnya, pernah bekerja di Workcenter Jerzy Grotowski dan Thomas Richards, Italy, sejak 1998. Geddy Aniksdal (lahir tahun 1955) adalah seorang actor, director dan pedagogis di Grenland Friteater of Porsgrunn, Norway. Rob Baum pula mempunyai lebih dari 15 tahun pengalaman dalam pergerakan ekspresif seorang actor, kombat pentas serta psikologi tubuh. Beliau mengajar drama dan teater di Monash University, Australia. Rosa Casado adalah seorang aktivis, kreator dan pemain, hasil kerjanya menggali kemungkinan menulis semula realiti yang mencungkil cara baru dalam berfikir serta mengembangkan ruang kepelbagaian. Deborah Hunt, sejak 30 tahun yang lalu memproduksikan karya asal teater yang menggunakan topeng, patung dan bayang, dia banyak berkerja di New Zealand dan New York.
Indija Moehiddin, campuran Australia-Sumatera telah menumpukan karyanya dalam mengembangkan teater tradisi Randai ke masyarakat Australia. Dia telah menulis dan mengarah “The Horned Matriarch: Story of Reno Nilam” (1998) serta karya untuk remaja Mr Stupid (Pak Pandir and his Waterbuffalo). Projek randainya yang terbaru termasuklah “Arthurian Randai Project” (2003) dan “The Ballad of Boldenblee” (2004). PETA, sebuah pertubuhan terkenal dari Filipina sejak tahun 1967 mendedikasikan kerja teaternya untuk masyarakatnya. Anita Ratnam pula adalah nama besar dan pemenang anugerah televisyen di Kota Raya New York di tahun 1980an, kembali ke Chennai (Madras), India dan mempelopori ARANGHAM (1992), menghubungkan tari dengan seni lainnya, mendirikan Arangham Dance Theatre (1993), portal dunia tari www.narthaki.com (2000) dan acara tari kontemporari tahunan The Other Festival (1998). Tidak ketinggalan adalah Joanna Wong, seorang pemain dan pengarah Cantonese Opera dari Singapura yang menjadi terkenal di China.
Festival yang berjalan mulai 10-15 Julai ini akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi persembahan teater, bengkel teater, forum dan dialog teater serta persembahan-persembahan terpilih yang akan bermain di beberapa venue di Kota Singa itu. Mek Nab dan Svarnabhumi Studio akan mengadakan demonstrasi persembahan Mak Yong serta bengkel Mak Yong di Muzium Negara Singapura. Demonstrasi Mak Yong akan mempersembahkan cerita Fakir Abdullah Raja Adil, sebuah cerita yang jarang dibawa oleh kumpulan-kumpulan Mak Yong di Malaysia, walaupun kita dikatakan ada 12 batang cerita Mak Yong yang terkenal. Kita sering disogokkan dengan cerita-cerita Anak Raja Gondang, Raja Laklin, Raja Tangkai Hati dan Dewa Muda. Tan Sri Mubin Sheppard pernah menerbitkan cerita-cerita Mak Yong dalam penerbitannya di tahun 1960 dan 1970. Tapi Prof.Ghulam Sarwar Yusuf banyak mengkaji dan menulis tentang teater tradisional Mak Yong.
“Fakir Abdullah dan Raja Adil” mengisahkan Fakir Abdullah yang hodoh dan miskin tetapi mengimpikan untuk menemui Raja Adil dan meminta untuk menjadi raja di negeri itu selama sehari setelah bertukar wajah yang sempurna. Walaupun dihalang oleh puteranya, Raja Adil membenarkan Fakir Abdullah menjadi raja untuk tempoh sehari, malangnya selepas sehari semalam Fakir Abdullah enggan melepaskan tahta. Beliau menghalau Raja Adil dan beliau terus memerintah. Fakir Abdullah akhirnya diserang oleh putera Raja Adil dan bertukar kembali menjadi buruk.

Mek Nab dan kumpulannya akan mengadakan demonstrasi “Buka Panggung”, “Mengadap Rebab”, “Pecah Cerita”, “Peran” serta “Tari Ragam”. Demonstrasi akan mempersembahkan sebahagian dari persembahan sebenar dengan memendekkan waktu persembahan. Apa yang menarik dalam persembahan Mak Yong juga adalah lakaran pentasnya yang bersifat ‘invisible’ dan ‘imaginary’. Walupun dulunya Mak Yong dipersembahkan dalam Istana mengadap raja dan orang kebesaran, ruangnya bertukar ke bangsal yang didirikan di kampung. Tapi ruang yang yang sesuai adalah berbentuk arena seperti juga panggung eksperimen. Itulah kelebihan dan keunikan Mak Yong, dan ini menyenangkannya untuk dibawa berjalan, dengan hanya tujuh pemain musik serta lapan pemain termasuk Raja, Permaisuri, Putra Putri, Peran, dan Dayang-dayangnya. Walaupun bahasa perantaraan Mak Yong adalah bahasa Kelantan-Pattani dialek, bengkel akan diadakan dalam Bahasa Inggeris untuk memudahkan peserta dari seluruh dunia memahami cerita dan struktur-struktur permainan dan latihan.

Mak Yong di Magdalena Singapura sekaligus mengimbau ke zaman Raja Permaisuri Biru di Abad Ketujuh Belas Johor Riau sekaligus menyaksikan dunia menatapnya dalam ruang realiti kosmopolitan.

________________________________________________________________________
Dr.Zulkifli Mohamad adalah pengasas pertubuhan seni dan budaya, Svarnabhumi Studio, yang mengkaji teater tradisional Mak Yong, Wayang Kulit, Manora, Asyik, Silat, Randai, Terinai dan mengembangkan teater tradisi baru Malaysia. AxiA (Arts Xchange in Asia) pula adalah organisasi tanpa-untung yang dipelopori untuk mempromosikan pertukaran seni dan budaya di kalangan seniman, penulis dan pengkaji di Asia. Beliau adalah alumni Asia Fellow, Islamic Scholars of Southeast Asia, SEASREP Foundation, Southeast Asian Artisan (Toyota Foundation/ UNESCO) serta volunteer UNESCO World Heritage Education. Email: Zubin_Mohamad@yahoo.com. Blog: http://Svarnabhumi.blogspot.com.

3 comments:

babyarisha said...

tahniah..sy memkn masa utk m'baca blog zubin..Mak Yong!!xramai ank muda yg nk tau ape itu Mak Yong.. klu buat bancian..hampir separuh ank muda xtau langsung ape itu mak yong..mmg susah utk mengangkat martabat & mengekalkn kehebatan Mak Yong itu..sy sendiri kalah dlm m'pelajari tarian mak yong ketika d' skolah dlu..teruskn usaha.. InsyaAllah pasti berjaya..

nurrifqah17972 said...

Syabas saudara...
Cuba saudara buat perkaitan antara seni teater mak yong dengan Drama dan Teater Melayu. Saya berasa tertarik untuk mengetahui perkaitannya dan sumbangannya dalam Drama dan teater Melayu. Terima kasih.

zubin said...

Nurrifqah, ini nama lelaki atau perempuan? anda ni belajar ke atau masih menuntut? adakah anda pelajar drama?. Kalau nak tahu Mak Yong tukan sebuah teater melayu tradisional, banyak buku2 yang boleh dibaca, terutamanya dari dewan bahasa. malah sudah beberapa kali Mak Yong dipentaskan di Istana Budaya, maknanya ia sebuah teater Melayu, walaupun bahasanya di dalam bahasa kelantan yang saya kira ianya adalag sebuah bahasa klasik, bahasa yang dipertuturkan sejak zaman kerajaan Langkasuka dan Pattani Besar di utara semenanjung Tanah Melayu. Saya cuba cek siapa anda tetapi blog anda masih kosong. Thanks for asking.