Mencari Sang Pencipta Lagu Muzikal
Dr.Zulkifli Mohamad
Malaysia terlihat seperti ingin menjadi sebuah negara pengeluar teater muzikal. Istana Budaya, pentas bertaraf dunia, terus menerus mementaskan persembahan teater muzikal Melayu, satu persatu dari Puteri Gunung Ledang, M Opera, Lantai T.Pinkie, Pentas dan Puteri Gunung Ledang lagi. Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) juga mulai banyak menghidangkan teater muzikal bahasa Inggeris seperti Pygmalion, Ah Beng, Girl From Ipoh, Broken Bridges dan akan datang Butterfly Lovers.
Stor Teater DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka), yang banyak menampilkan teater-teater berbentuk eksperimental dan alternatif juga pernah mementaskan teater Nordin Hassan yang berbaur muzikal, Sarah.
Pendek kata para pengarah teater, komposer dan penulis teater kita terus menerus mencari fomula terbaik untuk menghasilkan bentuk Muzikal Malaysia. Kadangkala kita dilihat seperti sebuah makmal seni yang menghasilkan produknya untuk dipasarkan atau sebuah negeri pendalaman yang menghantar hasilnya ke pasaran dunia. Puteri Gunung Ledang misalnya akan dipentaskan di Esplanade, panggung antarabangsa di Singapura selepas Hari Raya Puasa nanti. Apakah M Opera dan muzikal lainnya akan mengikut jejak Puteri Gunung Ledang ke Singapura?
Pernah terdengar seorang penggiat filem Hollywood memuji Malaysia adalah sebuah negara bersifat muzikal, masyarakatnya yang sukakan nyanyian serta ramai penyanyi dan penggubah lagu berbakat.
Mohd Hafiz Askiak atau Hafiz adalah di antara penggubah-penggubah lagu yang berbakat. Beliau bukan saja seorang penyanyi tenor yang pernah dilatih oleh Siti Chairani Proehoeman, tetapi memiliki sarjana Master of Music Composition dari Duquesne University, di Pittsburgh, Amerika Syarikat sejak tahun 1998.
Sebelum berangkat ke Amerika Syarakat, beliau sudah pun menghasilkan komposisi muziknya untuk teater muzikal karya Hatta Azad Khan, Tanah Air Api Angin, persembahan UNIMASTAGE di Kuching dan Kuala Lumpur kelolaan Panggung Negara ditahun 1994. Sekembalinya dari pengajian sarjana komposisi muzik, beliau telah menghasilkan banyak komposisi untuk beberapa teater muzikal seperti Jati tulisan-arahan Hamzah Tahir dan Rosli Dobby tulisan-arahan Nurafifah Abdullah produksi UNIMASTAGE di Sarawak.
Komposisi muzik Hafiz banyak terpengaruh oleh range vokal tenornya serta teknik nyanyian seriosa hasil didikan Siti Chairani serta Koir Kebangsaan, malah beliau pernah menyanyi dalam satu koir bersama Ning Baizura dan Shafinaz Selamat. Malah Hafiz telah mencipta sebuah lagu Untukmu yang didendangkan oleh Ning Baizura sempena pembukaan Festival Filem Millenium Sarawak pada tahun 2002. Lagu berbentuk balada yang digubah khusus untuk nada suara Ning.
Pendidik di Universiti Malaysia Sarawak ini bukan hanya mengajar dan menghasilkan karya tetapi menjalankan kajian akademik, termasuklah “Analisa Lagu Pop Evergreen Bahasa Melayu (Malaysia) Di Tahun 1970-1980an: Satu Kajian Terhadap Form, Harmoni, Corak Melodi, Suara dan Lirik”. Sedikit sebanyak ianya mulai mempengaruhi karya-karya muziknya yang mulai berbaur antara muzik pop dan seriosa. Hafiz yang juga berminat dengan irama R&B akhirnya menghasilkan sebuah album, Kertas Putih, memuatkan 12 buah lagu ciptaan dan nyanyiannya sendiri pada tahun 2002.
Beliau juga banyak belajar tentang seni muzik ethnik serta Gamelan Jawa Sarawak semasa di sana, malah antara kenangan berharga semasa di bumi kenyalang itu adalah persembahan bersama kumpulan muzik Sarawak di World Rain Forest Music Festival serta menciptakan soundtrack untuk sebuah filem domentari berjudul “The Monument of Rainforest” terbitan Bear Creek Studio dari Amerika Syarikat.
Penghijrahan Hafiz ke Kuala Lumpur dua tahun lalu telah banyak membuka jendela-jendela pengkaryaan muziknya. Beliau diundang untuk mengajar vokal, muzikal dan bunyi di program teater, Faculty of Artistic and Creative Technology (FACT) di UITM Shah Alam dan menghasilkan muzik untuk teater Salina (A.Samad Said), Alang Rentak Seribu (Syed Alwi), Bukan Lalang Di Tiup Angin (Nordin Hassan), teater muzikal Selendang Jiwa (Mazlan Tahir) serta teater tari kanak-kanak, Chini (Zulkifli Mohamad) arahan Hamzah Tahir. Beliau juga dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan memimpin suara latar untuk teater muzikal Puteri Gunung Ledang di Istana Budaya.
Kini beliau dipilih oleh Hatta Azad Khan dan Othman Hj.Hafsham sebagai komposer untuk mencipta 34 buah lagu untuk teater komedi muzikal “Pi Mai Pi Mai Tang Tu”. Beliau akan memulakan sesi latihan dengan pelakon-pelakonnya pada awal Oktober ini. Teater komedi muzikal ini akan menemui penontonnya pada 24 November 2006. Keputusan untuk mengadakan persembahan muzikal ini sudah terbuku di hati Othman dan Hatta sejak drama sitkom dimulakan lebih sepulih tahun yang lalu.
Siri komedi televisyen yang paling lama ini akan menampilkan para pelakon asalnya seperti Zami Ismail, Khadijah Tan, Sabri Yunus, Imuda, Angeline Tan, Sathia, Sulaiman Yassin bersama gandingan beberapa pelakon terkenal lain termasuk Zaibo, Nasrizal Ngasri serta pelakon muzikal Filipina yang bersuara lantang, Maria Yasmin.
Mungkin ramai yang ingin tahu tentang konsep teater komedi muzikal dan mungkin ramai yang meragui bentuk persembahannya. Sebenarnya komedi muzikal bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah lama dipentaskan di Broadway New York dan West End London. Malah Peter Filichia, pengkritik teater dan muzikal terkenal di New York telah menulis sebuah manual untuk kumpulan teater yang ingin mempersembahkan teater muzikal. Beliau malah mengkategorikan muzikal-muzikal yang ada didunia kepada 24 jenis dan salah satunya adalah komedi muzikal. Antaranya termasuklah Once Upon A Time A Mattress, Three Guys Naked From the Waist Down, Sugar Babies, Little Me, A Day in Hollywood/ A Night in the Ukraine dan banyak lagi.
Ada juga yang bertanya berapa persen muzik yang akan ada di dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan dengan tenangnya Hatta menjawab yang 34 lagu akan dinyanyikan oleh karektor penting yang ada. P.Ramlee sendiri banyak mencipta lagu-lagu bercorak komedi di dalam filem muzikalnya. Sama-samalah kita nantikan muzikal yang akan mencipta satu lagi bentuk baru seni persembahan di Malaysia.
Thursday, October 12, 2006
Subscribe to:
Posts (Atom)