Belan-belan Berjalan, Terjirik Angin Kerajaan Utopia
Dr.Zulkifli Mohamad
Angin Sipauh Janggi – Kenangan Mak Yong Khadijah Awang
Karya Lukisan dan Lakaran Siti Zainon Ismail
Bertuahlah kanak-kanak bernama Siti Zainon Ismail yang segar membesar di Kota Bharu seusia 7 tahun, sewaktu Malaya baru masuk merdeka pada tahun 1957, di sebuah kota yang sering digelar “Cradle of Malay Culture”, “Negeri Cik Siti”, “Negeri Cerang Tegayung - Tanah Serendah Sekebun Bunga”, tanah yang berghairah dengan seni halus – seni ukir, seni batik, seni songket, seni senjata, emas, perak dan seni wayang kulit, Mak Yong, Menora, Dikir Barat, yang menjadi ‘permainan’ rakyat Kelantan. Semasa sekolah rendahnya di Kota Bharu, Siti Zainon menyaksikan berbagai bentuk permainan atau “past-time”, seperti yang digelar para pegawai kolonial Inggeris. Apalagi ketika “Puja Umur” atau Hari Keputeraan Sultan, di mana jiwa dan rasa cerita Seri Rama, Siti Dewi, Rawana, Puteri Mayang Angin dan Dewa Muda bercampur-baur dengan bau dan rasa sagong, gula leng, sotong bakar, kacang kuda serta air locong dan tapai-cendol.
Dunia itu menjadi segar kerana ianya adalah sebahagian daripada ‘Memori Visual’ Siti Zainon, yang terus dibajai akarnya, disirami air pohonnya dan dipetik buahnya sebagai sumber karya. ‘Memori Visual’ inilah yang menjadi karekteristik penting dalam menyimpan imbasan dan kenangan berhubung ‘Pengalaman Visual’ beliau. Kita manusia boleh saja menyimpan ingatan tentang sesuatu objek, tempat, binatang atau watak manusia lain dalam berbagai berbentuk imejan. Sesetengah penulis memanggilnya ‘Mata Hati’, manakala Sir Francis Galton (1822-1911), saintis pertama yang mengambil berat tentang “visual imagery” dalam pemikiran manusia, menggelarnya “Our Mind’s Eye”.
Dunia remaja dan dewasa Siti Zainon dihabiskan menimba ilmu, mengutip visual, menyusun memori dan hidup dikelilingi seniman tradisional and moden di Kota Jogjakarta. Kota Mattaram yang dipusakakan dari Kerajaan Majapahit, yang berlatarbelakangkan Gunung Merapi di utara dan menghadap Pantai Parangtritis di selatan, tempat Raja Mattaram - Panembahan Senopati bertapa dan bersemuka dengan Ratu Laut Selatan - Gusti Kanjeng Roro Kidul. Kota itu merupakan kota yang di kelilingi benteng batu yang penuh beradap, serta sopan santun yang tinggi. Dunia itu adalah dunia di mana Siti Zainon membentuk dirinya juga menjadi seorang seniman muda wanita Malaysia di tahun 1970an.
Dunia yang dijejaki Siti Zainon di Jogjakarta dan Indoneisa adalah dunia manusia yang banyak bermain dengan pelbagai bentuk seni rupa (tangible arts), yang lebih dikenali ahli sejarah seni Eropah sebagai “Plastic Arts”, serta seni sastera dan seni persembahan (intangible arts), kerana Kota Jogjakarta sendiri adalah sebegitu rupa sifatnya, seperti sarang laba-laba yang saling bertautan. Teori gabungan “Plastic Arts” dan “Performing Arts” yang diguna-pakai oleh Claire Holt di sekitar tahun 1930an menjadi landasan untuk mentelaah, menginterpretasi dan menganalisa seni Indonesia. Claire Holt bukan saja mengamati ukiran-ukiran batu di Borobudur, Prambahan, Candi Sukuh dan Candi Mendut, tetapi juga wayang kulit dan dalangnya serta muzik gamelannya, tari bedoyo dan serimpi di kraton-kraton, tari perdesaan di pergunungan, termasuk juga seni sastera Jawa Serat Centini, seni pembatikan dan pemakaian batik di upacara-upacara kebesarannya. Dunia itulah juga yang mempengaruhi ramai para seniman Eropah seperti Walter Spies, Le Mayeur, Antonio Blanco dan lainnya di zaman itu.
Kepulangan Siti Zainon ke Tanah Melayu menuntutnya menerokai dunia lain dari Dunia Jawa dan Dunia Bali, iaitu Dunia Melayu yang peninggalan pusaka purbanya di Langkasuka dan Lembah Bujang yang begitu masih kabur pengertiannya ketika itu, dunia yang seni arkitekturnya punah ranah kerana kayu dan papannya reput dihakis hujan ribut dan angin kencang monsun timur-laut dan barat-daya. Beliau berusaha mencari ertinya berpijak di bumi Melayu dan berpegang pada jati diri bangsanya. Beliau mencari dunia Melayu yang masih mengucapkan puisi-puisi klasik dalam permainannya, menenun dan membatik serta menarikan irama hembusan angin dan desiran ombak laut untuk penelitiannya, penulisan kreatifnya dan imbasan memori visualnya dalam lukisan dan lakaran kanvasnya.
Pertemuan pertamanya dengan Khadijah Awang di Pantai Timur di tahun 1970an telah menjalinkan hubungan penuh erti kerana ianya telah membawa beliau kembali ke dunia budaya semasa kecilnya, melihat dengan kacamata adigurunya, Pak Nik Man – Bomoh DiRaja, Pak Ayub Ismail – Tukang Rebab, Ustaz Abdullah Nakula – Sejarawan Seni dan Ilmuan Agama, serta Khadijah Awang sendiri. Dunia itulah juga yang mempengaruhi dunia penulisan puisi dan cerpennya, serta penulisan tentang tenunan tekstil serta senitari klasik. Penggalian budaya dunia Langkasuka itu menjadi segar kembali sewaktu beliau mula menulis biografi Khadijah Awang, Seniman Negara di tahun 1999 sehinggalah ianya terhenti pada tahun 2002, kerana Khadijah telah kembali ke rahmatullah, Al Fatihah – Semuga Rohnya Di Cucuri Rahmat. Kini, kata Siti Zainon “…..karya Pameran Kenangan Khadijah Awang, Angin SiPauh Janggi ini adalah sebuah kerinduan pada perjuangan seni Seniman Negara itu, kepulangan kita juga kepada sesuatu yang amat berharga buat kita”. Tetapi jika dilihat kepada koleksi karya, ianya terbahagi kepada dua bahagian – Siri Zikir Primadona yang mempamerkan karya catan, sketsa dan busana boneka sebagai imbasan Sang Primadona, manakala Siri Warkah Jawi pula menelusuri Dunia Melayu Islam. Siri Warkah Jawi sekaligus adalah penyelaman pemikiran Siti Zainon terhadap dunia Mak Yong, dunia Cerang Tegayung, dunia Bumi Merah, dunia Langkasuka, dunia Dalang-dalang dan pemegang cerita-cerita dongeng lagenda, dunia seorang seniman yang telah terpijak angin Si Pauh Janggi, terberkas kakinya dan diterbangkan ke langit oleh Si Wau Bulan Berhias.
Hikayat Beringin Tenggarong, 2008, Akrilik, 119 x 92
Angin Timur-Laut di musim tengkujuh yang membawa hujan di setiap penghujungnya adalah pembawa seribu cerita yang terbentuk dari ranting-ranting menjadi sepohon cerita, pohon kehidupan, pohon dunia, yang memisahkan antara dunia air, dunia tanah, dunia api dan dunia angin, yang di dalamnya terkandung makhluk-makhluk perlbagai kejadian, juga makhluk di antara makhluk-makhluk.
Malam Emas Bukit Seguntang, 2008, Akrilik, 108 X 98 cm
Dalam dunia angin itulah para dalang menyimbolkan para makhluknya - sikunang-kunang, sang kelkatu, para nyamuk dan pepatung makhluk yang bersayap, berterbangan di awan, kekadang memberikan cahaya kecil pada si pemuja bulan dan bintang. Kekadang pula menyinarkan si gunung seguntang, menjadi segumpal cahaya keemasan warnanya menjadi penyuluh hati sang pendeta yang sedang mengembara. Dunia angin itu adalah dunia udara yang bergerak yang diakibatkan oleh putaran bumi dan pemanasan tidak sekata, permukaan bumi yang kemudiannya membezakan jiwa kita-kita. Kita yang terbentuk adanya duabelas angin dalam diri ini adalah diri Dewa Muda antara satunya.
Takala puncak tinggi di hujung cahaya keemasan itu adalah puncak manusia bertemu penciptanya, Allah Yang Satu, dalam sebuah ketenangan yang kudus. Di situlah segalanya bersatu, dunia tanah, air, api dan angin. Puncak itulah yang dicari Puteri Lagenda, Puteri Saadong, yang kemudiannya menjadi cerita dongeg rakyat, cerita perjalannannya dari satu gunung ke gunung yang lain - Gunung Reng, Gunung Ayam, Gunung Stong dan Gunung Baha hinggalah ke Bukit Marak untuk bersemadi mengasingkan dirinya. Di situlah juga dikatakan tempat Tuan Puteri Saadong bersemayam selepas suaminya Raja Abdullah mangkat pada tahun 1761 masehi. Cik Siti Wan kembang juga dikatakan pernah bersemayam di situ ketika Pengkalan Datu menjadi pelabuhun penting sekitar 1605.
Rumah Kita Di Rawa-rawa, 2008, Akrilik, 92x120cm
Keindahan gunung-ganang dan bukit-bukau di Tanah Serendah Sekebun Bunga itu menyimpan seribu satu macam khazanah flora faunanya, dari pohon mengkudu, bilak, bonglai, sedingin, pulai, pakma(reflesia), pegaga, kayu arang hinggalah kepada Pauh Janggi, yang sering digelar kelapa laut atau pohon tar di “Negeri Cik Siti”, pohon-pohon yang bukan hanya menjadi penutup bumi, tetapi juga adalah penawar segala racun, pewarna segala kesuraman, serta menjadi bahan pengalas kitab-kitab Sanskrit dan Pali. Pohon SiPauh Janggi masih terpacak ditemui di Semenanjung Emas (Svarnabhumi), dari utara Tanah Melayu hinggalah ke Champa (Kemboja-Vietnam) ditimur dan Myanmar di barat, menjalin hikayat, cerita dan dongeng yang satu asal sifatnya.
Hujan Mas Pauh Janggi, 2008, Akrilik, 54 X 43 cm
Dunia itulah yang banyak mempengaruhi Siti Zainon di dalam pencariannya dalam penelitian tentang erti dan makna gunung-ganang, puncak mahligai, awan berarak, sungai berungkai dalam simbolika pucuk-pucuk yang bertaut, dokoh-pending yang gagah di dada dan pinggang wira dan putera, dahan daun sukun tempat berpaut si burung jentayu.
Jentayu Terbang Ke Awan Biru, 2008, Akrilik, 92 x 120cm
Jentayu yang kata asal sanskritnya, Jatayu adalah burung mistikal yang menyelamatkan Siti Dewi dari penculikan Mahraja Wana(Rawana). Dalam sajak Usman Awang yang ditulis untuk dramatari Suasana, Jentayu(1978), menjadi penyelamat Puteri Cina yang ditawan oleh Sang Garuda, yang di paruhnya Memancar sinar, Menyepuhi sejuta rasa, Kemuliaan di hati, Bening budi terdampar di jagat raya, Di sayap taufan di jelajahi, Awan gemawan membawa rindu, Kasihnya menentangi kezaliman dan ketidakadilan, Jentayu yang patah sayapnya sanggup bertongkat paruh, Jentayu yang patah paruhnya sanggup bertongkat siku, Jentayu yang patah sikunya sanggup bertongkat dagu, Jentayu yang patah dagu sanggup bertongkat kuku. Dan di sini, Siti Zainon berharap untuk meminjamkan hatinya untuk semua dan meminjam syahdunya untuk kita sama-sama menikmati keindahannya dunia itu.
R.J.Wilkinson(1903) yang menulis kamus Melayu-Jawi menyifatkan Jentayu sebagai mempunyai sakti memanggil hujan dan embun. Manakala di dalam Epik Ramayana memerikan yang bapa kepada Jentau, Aruna, adalah abang tua kepada Garuda.
Pun begitu, dunia mistikal yang banyak dipengaruhi kepercayaan dewa-dewi Pribumi lama itu telah berubah mencari paksi dan gengaman baru. Dunia itulah juga yang mula dipengaruhi pemikiran Islam di istana-istana raja dan rakyat jelata. Parameswara yang menjadi Sultan Iskandar Shah, memeluk Islam pada 1412 dan mengislamkan kitab Ramayana dari Sanskrit Jawa kepada Hikayat Seri Rama, Sita Dewi menjadi Siti Dewi dan Rama menjadi Seri Rama. Walaupun Islam masuk ke Melaka sekitar 1412, Islam sebenarnya sudah lama bertapak di Champa sejak 1035, 1048 di Brunei, 1082 di Jawa dan Pasai, 1297 di Sumatera, 1298 di Pattani dan 1303 di Terengganu. Ianya sudah sekian lama menyerap dalam jiwa dan hati nurani sang rakyat jelata. Wilayah Langkasuka di Pattani dan Kelantan, sudah terbiasa menjadi tempat pertembungan budaya, maka mekarlah sebuah peradaban budaya yang ranum dengan jatinya. Peter Flores sewaktu singgah di pelabuhan Pattani dikatakan pernah dihidangkan dengan tarian Mak Yong dan Asyik pada tahun 1612, di Istana Pattani oleh Raja Perempuannya. Mak Yong membawa dua belas buah cerita raja-raja, sekaligus Langkasuka juga mempunyai duabelas jajahan negeri takluk seperti juga duabelas raja dalam tubuh manusia.
Seperti raja-raja dalam tubuh yang diperikan oleh Tok Minduk dan Tok Peteri, Kelantan yang pernah digelar “Serambi Mekah” juga dikemudikan hati jiwanya oleh para orang alim sejak akhir abad ke sembilan belas dengan sekolah-sekolah pondok dan madrasah-madrasah yang bertaburan di seluruh jajahan negeri dari Tok Salehor, Tok Semian, Tok Jerulong serta Tok Janggut hinggalah kepada Tok Kenali. Tengku Petra-Tengku Temenggung yang menjadi Raja Muda sekitar 1888 sering di dampingi para orang alim seperti Tuan Tabal dan Tok Mannan semasa remajanya sebelum membina Kubu Kampung Temenggung untuk segala bentuk ‘permainan’ Melayu seperti Mak yong dan Wayang Kulit. Mungkin roh-roh itulah yang ingin dibawa oleh Siti Zainon dalam Siri Warkah Jawinya, menyelam kembali dunia Iskandar Shah dan dunia Tengku Petra-Tengku Temenggung, Long Abdul Ghaffar anakanda Sultan Muhamad II.
Lukisan-lukisan dalam Siri Warkah Jawi ini seperti sebuah “tribute” yang sudah lama dinantikan untuk mengenangi karya-karya sebelumnya seperti karya Omar Basri dan Khalid Yussof yang banyak bermesra dan bermain dengan keindahan khaligrafi dan keanggungan huruf-hurf Melayu Jawi itu sendiri. Yang menariknya karya-karya berwarna Melayu ini menggabungkan dunia mistik Melayu dengan dunia keagungan Islam nusantara.
Jentayu Kesumba, 2008, Akrilik, 69x54
Siti Zainon sudah berani menjelajah mencari jiwanya, dari Rawa-rawa ke Tenggarong di Kota Kutei. Tapi hatinya terpaut di Pauh Janggi.
Angin SiPauh Janggi adalah sebuah kerinduan kepada sebuah alam kerajaan emas yang pernah diperintah oleh seorang raja perempuan yang adil lagi saksama yang sayangkan seni dan alam sekitarnya, sayangkan binatang, memperjuangkan alam kreasi dan kreativiti, menenun, menyulam, menyongket, membatik, menukang emas dan perak, mengukir kayu dan gading, dan tanduk, menyolek wau dan rebana, menyulam cerita, pantun dan hikayat dalam sebuah pentas. Sebuah alam yang masih terus dekat dengan angin, awan, bulan dan bintang, langit dan bumi, hijau pohon kayu, wangi serai dan pandan, indahnya warna kunyit, kesumba, dan getah pohon kayu, dunia perbualan pagi di gerai nasi kerabu, nasi belauk, gerai goreng pisang selepas asar. Dunia yang ujudnya belahan bahasa, antara halus dan kasar, antara tinggi dan rendahnya adat budaya anak negeri. Siti Zainon, walaupun lahirnya bukan dari keturunan anak negeri Cik Siti-Puteri Saadong, tapi beliau dilahirkan di negeri cik siti, membesar dalam alam cik siti yang peka pada warna-warna Melayu Klasik – merah Jingga, Biru Kesumba, Hijau daun mengkudu dsb, menenal nasi kerabu hitam nasi krabu kuning, hijau merah lompat tikam dan putihnya santan pekat wangi perisa. Kerinduannya adalah kerinduan pada warna-warna dalam alam Cik Siti. SiPauh Janggi yang merujuk kepada sebuah tempat – pulau adalah suatu mitologi tentang kehadiran sebuah keindahan seperti ujudnya Tanah Serendah Sekebun Bunga.
Tanah Sekebun yang subur dalam Kerajaan Bumi Merah, dipanggil Chih Tu oleh sejarawan China pada tahun 607 masehi itu, adalah dunia peninggalan kesaktian kerajaan-kerajaan lama Funan, Champa, Langkasuka, Sri Wijaya, Majapahit dan Ayutthaya. Dan tanah-tanah itulah yang subur dilitupi Si Pauh Janggi.
Angin SiPauh Janggi, bukanlah angin yang calang-calang, yang susah dimengertikan manusia biasa yang sering menutup hati dan telinganya pada seru angin. Dengarnya ada juga dongeng tentang Tasik Pauh Janggi, ditengahnya ada saluran yang menghubungkannya ke laut luas, kerana itulah, pabila bulan menggambang, airnya pasang dan menutup lubang-lubang siketam angin yang berkeliaran digigi air.
SiPauh Janggi atau pokok kelapa laut, coco de mer, genus Lodoicea, adalah palma dari Pulau Praslin dan Pulau Curieuse di Seychelles, juga di Pulau St. Pierre, Pulau Chauve-Souris, dan Pulau Round, tetapi kini telahpun pupus. Kini ia adalah satu spesies nadir yang terlindung dan dipulihara semula. Lodoicea maldivica atau nama genusnya Lodoicea berasal daripada Lodoicus, perkataan Latin untuk Louis, dan merupakan penghormatan kepada Raja Louis XV dari Perancis. Sebelum tahun 1768, banyak orang mempercayai bahawa buah ini berasal daripada sebuah pokok mitos yang tumbuh di dasar laut. Orang-orang bangsawan pada abad ke-16 sering membersihkan kulit buah ini dan menghiaskannya dengan permata yang berharga untuk galeri-galeri peribadi mereka.
Mungkin itulah yang sering terjadi apabila manusia sering mengimpikan sebuah keindahan yang tidak dimiliki ditanah airnya. Mengimpikan keindahan dari tanah seberang atau dari suatu tempat yang jauh di mata.
Kelantan pernah diimpikan sebagai sebuah negeri yang eksotis dan kaya dengan budaya oleh para kolonialis, pengembara, pencinta alam serta penyelidik termasuk Skeat, Anandal, Jeanne Cuisinier, Raymond Firths, William Malm, Amin Sweeney, David Wyatt, William Roff, Douglas Raybeck, Robert Winzeler, Clive Kessler, Richard Winsteadt, Stewart Wavell serta Mubin Sheppard. Tetapi bagaimana pula dengan para sejarawan, sastrawan dan budayawan kita sendiri seperti Ismail Hussein, Mohd Taib Othman, Nik Safiah Karim, Kassim Ahmad, Nik Mohd Salleh, Ibrahim Nik Mahmood, Abdullah Al-Qari Haji Salleh, S.Othman Kelantan, Abdul Rahman Al-Ahmadi serta Abdullah Nakula yang begitu dekat dengan kelantan dan budayanya. Mungkin bukan kelantan yang diimpikan tetapi adalah sebuah kerajaaan utopia.
Seperti impian pelukis pasca-impresionis Perancis, Paul Gauguin, yang menggambarkan keindahan Tahiti dengan wanita-wanitanya yang santai di bawah pohon mangga, atau pohon-pohon tropika yang lain. Kini lukisan impian Gaugin itu telah dilelong dengan harga senilai 60 juta dolar US. Manakala lukisan bertajuk "Te Poipoi" atau "Pagi" itu, produksi 1892 yang memperlihatkan wanita Tahiti mandi di sebuah tempat yang eksotis pula bakal dilelong Sotheby`s New York pada 7 Nopember ini. Gaugin sangat terpesona dengan keindahan pulau di Pasifik Selatan itu setelah suatu kunjungan, Gauguin menjual "Te Poipoi" dan lukisan lainnya di Paris untuk menghimpun dana bagi keberangkatannya kembali di Tahiti pada 1895. Ia menghabiskan seluruh sisa hidupnya di sana.
Marc Leguay, pelukis Perancis yang kadang digelar “Gaugin of Laos” sekitar tahun 1930an memaparkan Laos Traditional Daily. Beliau juga dikatakan mengikut jejak Gaugin dalam mencari tempat impian untuk lukisannya.
Srihadi Soedarsono dan Burhanuddin Affandi Kesuma, dua pelukis moden Indonesia yang berasal dari Bandung Jawa Tengah ini mempunyai kecintaan yang sama terhadap kesenian dan kebudayaan Jawa dan Bali. Srihadi begitu terpesona dengan tenaga dan semangat yang ada di dalam Tari Topeng, Bedhoyo Ketawang, Serimpi dan Tari Legong Bali.
Di sini, di negeri SiPauh Janggi, angin Siti Zainun terpijak lagi ketika beliau berjalan sambil mencari jati jiwanya. Biarpun angin itu membawa beliau berputar ke segenap pelusuk nusantara, hatinya tetap bertapak dan terpacak. Angin itu berdesir dan berkata-kata “……janganlah dibimbangi, dua belas angin dalam tubuh diri dari dua belas negeri itu akan terus mengalir dalam diri anak cucu dan saudara kita”. Angin itulah juga yang pernah dilafazkan Seniman Negara, Seri Panggung Khadijah Awang ke telinga kita.
Rimba Pauh Janggi(2008)Akrilik, 54 X 43 cm