Cari Paksi Fesyen Dunia
Dr.Zulkifli Mohamad
Dunia fesyen tidak boleh terlepas dari penampilan bintang-bintang glamour dan selebriti terkenal. Di Hollywood sendiri, para pereka fesyen terkenal dunia berebut-rebut untuk menghiasi tubuh glamour bintang-bintang kerana merekalah yang mampu mempamerkan keindahan rekaan dan kehandalan pereka ke mata dunia sewaktu acara anugerah gah seperti Oscar, Grammy, Emmy, Tony dan MTV berlangsung.
Begitu juga dengan kita di kota gemilang Kuala Lumpur yang bakal menampilkan Malam Seribu Bintang serta Malam Indah Selebriti di Kuala Lumpur Fashion Week. KL Fashion Week yang bakal berlangsung di kota kesayangan kita di Malaysian Tourism Centre di Jalan Ampang pada 12-15 November ini akan dikunjungi para media fesyen dunia termasuk CNN serta para peniaga dunia fesyen antarabangsa.
Mungkin inilah masanya untuk kita mempamerkan keindahan dan keunikan rekaan-rekaan para pereka kita, sekaligus, menampilkan model-model dan bintang-bintang jelita kita ke mata dunia. Ditambah lagi dengan keindahan budaya, kraftangan, alam semulajadi dan mentari kita yang menyinar sepanjang tahun, bagaikan sebuah musim panas yang panjang!
Tahniah kepada Tourism Malaysia, Pempena, MODA dan penganjur lainnya kerana mengembelingkan tenaga bersama untuk menampilkan acara dunia yang gilang gemilang ini. Kini kita sudah mulai bergandingan dengan kota-kota Asia lain seperti Bangkok, Singapura, Bali, Jakarta, Hong Kong dan Tokyo. Sekaligus cuba menempatkan diri kita ke dalam liga Fashion Week dunia seperti di London, New York, Paris dan Milan.
Mungkin boleh dikatakan yang inilah julungkalinya Kuala Lumpur mengadakan KLFashion Week, tetapi ada penggiat fesyen di Malaysia yang bakal menyangkal, dan mengatakan Kuala Lumpur pernah mengadakan Fashion Week di tahun 1998 yang dianjurkan oleh Majalah Rias. Tapi mungkin dunia fesyen kita tidaklah sehebat sekarang ini hinggakan acara tersebut terus terkubur. Empat tahun yang lalu MIFA(Malaysian International Fashion Award) mengorak langkah dan mengadakan fashion week dengan kerjasama Mercedez Benz, membawa pereka-pereka Asia masuk ke Kuala Lumpur.
Bali Fashion Week misalnya cuma diusahakan oleh seorang pereka fesyen Indonesia yang menetap di Hong Kong, Ika Mardiana, yang prihatin terhadap industri pakaian di Indonesia setelah krisis ekonomi dan politik di tahun 1998. Usaha Ika di Bali telah membuka jalan untuk mengadakan Jakarta Fashion Week beberapa tahun kemudian.
Mungkin juga Kuala Lumpur Fashion Week akan menjadi pencetus industri pakaian dan kraftangan negara sekaligus menjadi fashion week yang teguh dan terkenal dengan kegemilangannya. Ini tidak mungkin tidak boleh berlaku kalau semua pihak berkerjasama, terutamanya pihak MODA (Malaysian Official Designers’ Association).
MODA ditubuhkan sejak tahun 1990 sememangnya bertujuan mengembangkan industri fesyen dengan mengadakan keperluan industri dan menyediakan platfom kepada pereka fesyen tempatan. Tetapi mungkin perjalanannya tidak seindah yang diharapkan, apalagi apabila ada perebutan kepimpinan dan kuasa di antara pereka fesyen, sehingga ramai yang mengambil keputusan untuk berjuang sendiri.
Sebenarnya, banyak perkara yang perlu diusahakan oleh pihak MODA, tetapi ianya memerlukan kerjasama dari semua pihak, apalagi apabila industri fesyen kita masih berada diperingkat infan, yang baru mahu berpucuk. Untuk melahirkan sebuah industri yang mantap dan disegani di dunia, terutamanya di rantau ini, kita perlu mengadakan anugerah dan biasiswa, sekolah fesyen bertaraf dunia, skim pelaburan dalam fesyen untuk perniagaan fesyen, informasi tentang industri, rekaan, pemasaran, mengkaji gaya dan trend pasaran, gelagat pembeli, pusat pencarian kerja dalam fesyen industri, fesyen district, asosiasi dengan pengeluar tekstil, asosiasi dengan penenun, pusat sumber untuk semua yang terlibat dalam industri, serta kemudahan cukai pendapatan, seterusnya mengadakan forum antara yang terlibat di dalam industri, wakil perantara, mempromosikan rekaan ke luar negara, pertukaran antara bangsa, pembangunan usahawan serta suatu sistem praktis yang disahkan oleh industri.
MODA seharusnya memungkinkan jenama Malaysia menembusi pasaran dunia sekaligus berjaya menkonseptualisasikan trend pasaran dunia kepada para pereka fesyen, pengeluar tekstil, artisan industri kraf serta peruncit tempatan. Mungkin saja dengan kehadiran tenaga baru, Gillian Hung, yang diwar-warkan sebagai Guru Fesyen yang lama bertapak di New York, MODA bakal mengembangkan sayapnya dan terbang lebih jauh. Persoalannya apakah Gillian Hung mampu menyatukan pereka-pereka fesyen yang sudah bertapak dipersada antarabangsa? Atau MODA hanyalah sebuah persatuan untuk menyatukan dan memberi peluang kepada pereka-pereka muda yang baru ingin berkembang?
Industri pakaian dan fesyen dikatakan mempunyai nilai total ekspot tekstil dan pakaian berjumlah RM13,464.5 juta pada tahun 1998, iaitu 4.7% dari total ekspot dan ketiga terbesar dalam pertukaran wang, selepas industri elektronik dan kelapa sawit. Tekstil dan pakaian buatan Malaysia juga terkenal di dunia kerana kualiti dan ketahanannya. Pada tahun 2001 total ekspot meningkat kepada US$2.43 bilion dengan pengimpot utama dari USA, UK, Hong Kong, Singapura dan Japan.
Jenama-jenama terkenal dunia juga mengambil kesempatan untuk pengeluaran di Malaysia. Antara yang mempunyai kilang di Malaysia termasuklah Adidas, Champion, Calvin Klein, Nike, Ralph Lauren, Timberland, Gucci dan banyak lagi. Produser tempatan pula Anakku, Padini, PDI, Seed, Donna Knits, John Masters dan British India. Banyak pengeluar tekstil dan pakaian Malaysia yang sudah menembusi pasaran dunia dan terdapat banyak usaha juga sedang di jalankan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
Persoalan seterusnya, apakah industri fesyen kita berkerjasama dengan industri pengeluaran dan perdagangan antarabangsa yang dikelolakan oleh MATRADE dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, industri budaya serta industri pelancongan? MATRADE dikatakan mendaftarkan lebih daripada 1500 pengilang dan pengeluar tekstil dan pakaian di Malaysia.
Perancis, sebuah negara yang mencatat nilai tertinggi di dalam pelancongan dunia serta dunia fesyen yang sudah lama bertapak mencatatkan pasaran berjumlah antara Euro6.6 bilion dan Euro4.410 bilion untuk pakaian siap lelaki dan kanak2 dalam tahun 2005. Ini dianggap pasaran yang sangat kuat persaingannya dan di dominasi jenama-jenama terkenal dan banyak syarikat Perancis kini memberikan tumpuan kepada pengeluaran yang berkos lebih rendah dengan mendapatkan bekalan-bekalan luar disebabkan harga pekerja. Mungkin inilah peluang kita untuk menembusi pasaran walaupun persaingannya amat sengit, terutama daripada Negara Asia seperti China dan India.
Pun begitu, kita masih mampu bertanding jika kita mempunyai suatu niche dan identiti yang tersendiri di dalam pasaran dunia. Mungkin inilah waktunya untuk kita menggali dan mencari keistimewaan kita sendiri di pasaran antarabangsa.
Kita juga mempunyai kelebihan lain dalam daya saing, seperti keupayaan mencetuskan pusat tumpuan dunia Islam moden di Asia. Persoalannya apakah kita mampu menghasilkan sebuah lagi acara gah dunia setanding dengan Fesyen Week yang sudah menjadi seperti cendawan tumbuh di merata kota gemilang dunia?
Saturday, November 04, 2006
Subscribe to:
Posts (Atom)