Friday, June 01, 2007

Tari Peragaan Busana Telepuk Di Muzium Alam Shah

Aku Binatang Jalang (Emas Sepuluh)

Selasa ni kita akan mempersembahkan sebuah Raga-Tari Busana Telepuk di Muzium Alam Shah, jam 11 pagi, selama 30 minit. Karya ini adalah sebuah karya yang menggabungkan peragaan busana antik dan kontemporari koleksi svarnabhumi studio dan arena andaman, dengan teater tari Melayu Nusantara serta Asia Tenggara mengikut kesesuaian koleksi busana. Begitu juga dengan bentuk tari yang akan ditampilkan, menggabungkan koreografi kontemporari yang mengambil elemen tari Melayu dan Nusantara klasik serta teknik peragaan. Gambar-gambar yang ditampilkan di sini hanyalah sebagai hiasan semata-mata yang diambil dari produksi yang lalu - Emas Sepuluh di Istana Budaya serta Vous Amez Dormir yang dipentaskan di Bangkok Fringe Festival 2004. Kalau nak tahu itulah satu pose tari Bali saya yang digunakan untuk promo Emas Sepuluh. Baju kebaya sebelah ini pula adalah koleksi baju telepuk yang dipamerkan di Muzium Alam Shah. Walaubagaimanapun, busana yang akan ditari dan peragakan nanti adalah berbeza sekali, kerana ianya lebih bernafaskan rekaan nusantara dan Asia Tenggara. Para penari yang akan memperagatarikan busana tersebut adalah terdiri daripada para artis budaya pejabat kebudayaan Negeri Selangor dan dibantu oleh para staff Muzium Alam Shah. Saya sendiri akan membuat penampilan khas dengan menarikan sebuah tarian Bali dengan pemakaian kain telepuk/ prade Bali. Busana yang akan ditampilkan adalah busana pengantin Selangor yang direka khas, pasangan pengapit, 2 pasangan tetamu yang mengenakan pakaian Bugis, Siam dan Palembang, dua penari perempuan yang mengenakan busana Kelantan-Pattani dan Puteri Perak. kalau nak tengok datanglah ke Shah Alam. Selesai persembahan kita juga akan ada forum telepuk serta bengkel membuat telepuk keesokan harinya.

Vous Amez Dormir, Bangkok 2004.

Tuesday, May 29, 2007

SELIPAR JEPUN - Akan Datang



Selipar Jepun akan dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka pada 20, 21 dan 22 Julai, 2007. 20 Julai(Jam 8.30 Mlm), 21 Julai (Jam 2.30 Ptg dan 8.30 Mlm) dan 22 Julai (Jam 2.30 Ptg dan 8.30 Mlm). Selipar Jepun adalah sebuah teater

yang ditulis dan diarah oleh Dr.Zulkifli Mohamad (Tanah Serendah Sekebun Bunga, Aku Binatang Jalang, Lalak & Suara Dari Ruang Tamu)dan dibantu oleh Rosnani Seman(Ghazal Party Queen) sebagai Penolong Pengarah. Selipar Jepun menceritakan kisah hidup seorang peraih, Che Kenanga dan Yee Aji Whe, seorang Mak Andam dari Kelantan yang bertemu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Singapura dalam tahun 1970. Selipar Jepun juga menyelitkan kisah keperitan hidup dalam tragedi keretapi maut sewaktu perang Jepun. Teater ini menggabungkan elemen mono drama dan muzikal, yang menyaksikan gubahan semula lagu-lagu popular waktu itu dalam irama dikir barat. Saksikanlah keunikannya.