Tari : LALAK
Panggung Bandaraya Kuala Lumpur
2 hingga 4 Disember 2005
Jam 8.30 malam
LALAK adalah sebuah kolaborasi seni persembahan Teater Tari Kontemporari Malaysia yang tercetus antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan Svarnabhumi Studio. Kolaborasi ini akan menampilkan sepuluh buah rekaan tari hasil ciptaan lima perekatari terkenal : Syed Mustapha - pemenang anugerah Cameronian Award untuk Best Choreography 2003 yang banyak menggali semangat Melayu dalam karyanya, Jasni Ahmad - calon anugerah Cameronian Award yang mengadopsi konsep tari kontemporari Jepun dalam tarian etnik Orang Asli, Hamid Chan – antara graduan awal program tari dari Akademi Seni Kebangsaan yang menjadikan etnik Sabah sebagai jatidiri dan identitinya, Junainah Long – antara Koreografer Muda Asia Pasifik, Taipei 2003 yang mengenegahkan bahasa tubuh seorang wanita sebagai dialognya dan Zulkifli Mohamad – antara 10 koreografer terpilih Istana Budaya-Emas Sepuluh 2004 yang mengambil konsep Main Peteri untuk menganalisa penyakit bangsanya. Lima koreografer ini akan menarikan sendiri lima karya solo mereka dan menampilkan lima koreografi yang mengenegahkan para penari dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. LALAK adalah Arus Tradisi Tari Kontemporari Malaysia.
LALAK adalah sebuah nama yang diberikan untuk mewakili gabungan perasaan yang tersirat dalam diri kelima-lima seniman tari ini. LALAK memberi makna “Melaung Sekuat-kuat Hatiâ€. LALAK adalah pantulan reaksi manusia terhadap dunia sekelilingnya, dunia yang mementingkan wang ringgit, harta dan pangkat, dunia hiburan di Malaysia yang hanya mementingkan hiburan semata-mata tanpa mengambilkira nilai-nilai seni, estetika, jati diri dan maruah bangsa, dan dunia yang mengagungkan nilai kebaratan. LALAK adalah sebuah gerakan melawan arus hiburan yang begitu deras dan bersifat sementara belaka. LALAK adalah sebuah pernyataan tentang pengaliran seni tradisi Malaysia baru yang bersifat kontemporari yang penuh makna serta pengajarannya. Seni tari kontemporari tak ubah seperti seni sastera yang bersifat visual dalam tiga dimensi. LALAK adalah suatu dialog yang menyoal jati diri Melayu dalam arus global serta mencabar seni tari teater serta seni visual, teks, bunyi dan gerak
Syed Mustapha Syed Yasin
Karya Solo: Keliru
Biar apa yang kau katakana
Terhadap diriku ini
Di sini ku masih berdiri
Menahan pahitnya
Sebelum kau kenal
Hati nuraniku
Awaslah katamu………..!!!
Karya Kumpulan: OM BAK
Ia datang dan pergi
Pergi tak kembali
Menjadi satu misteri
Tragedi menyayat hati
Peristiwa silam berlaku kini
Pun sampai berulang lagi
Ku panjatkan doa dari Illahi
Jasni A.Hamid
Karya Solo: Argo-Gede
Dalam perjalanan dari Jakarta ke Bandung,
Dari dalam ruang keretapi Argo-Gede
Mataku terpaku ke lereng-lereng bukit yang subur mengemas
Terkesan dengan keindahan,
Terkesan dengan pribumi Jawa berhuma
Karya Kumpulan: Episod Hanuman
Tubuh bagai kelonsong ditiup roh,
Di isi hati dengan dua rasa,
Yang kudus dan yang hodoh,
Keduanya saling mendominasi tiada toleransi,
Ada yang membunuh dan ada yang menumbuh,
Akal harus jadi tuan, biar hidup bersempadan
Hamid Chan
Karya Solo: BORNEO
Sebuah karya yang berlandaskan dasar-dasar kehidupan dan keakraban penghuninya dengan alam semulajadi. Ianya dijadikan suatu sumber kepada garapan tari dalam persembahan solo ini. Gaya tari dan elemen-elemen etnik masyarakat kepulauan Borneo ia dijadikan pengisian tari satu koreografi yang mencerminkan kehidupan masyarakat itu sendiri, dalam erti kehidupan yang sebenar. Seni menjadi imitasi kehidupan dan kehidupan menjadi imitasi seni, tiada yang betul dan tiada yang salah dalam penciptaan, semuanya membentuk suatu kehidupan kita. Apa yang terlahir dari diri kita akan menjadi jatidiri kita, ianya mungkin lahir dari apa yang kita kutip hasil tatapan, bacaan, renungan dan pengalamanang kita lalui.
Karya Kumpulan: KUKUDA
“Kukuda” adalah satu gabungan gerak tari dari kuda kepang dan tari jawa (Gagahan) namun hampir keseluruhan pengisian dalam koreografi ini, telah diolah mengikut corak tari masakini, walaubagaimanapun warna-warna tari Kuda Kepang dan tari Jawanya adalah menjadi landasan utama, begitu juga dengan iringan muzik ia adalah satu garapan baru dalam aliran yang berlainan. Tiada siapa menghalang tiada siapa merancang di sudut lalui penuh ruang, dilalui langkaan 8 Kukuda, bernafas di atas rentak muzik, berhenti di atas satu ruang.
Junainah M.Lojong
Karya Solo : Untitled I – Suara Tubuh
Karya ini merupakan penggalian didalam proses eksperimentasi gerak dan tari yang berpaksikan “space†(ruang) dan “timeâ€(waktu). Maka dari pertembungan-pertembungan tersebutlah emosi-emosi yang menciptakan isu-isunya tersendiri. Dipasakkan kepada satu punca, eksplorasi gerak dan tari yang terhasil daripada kepelbagaian ruang yang dicipta dalam waktu yang berbeza-beza. Tanpa teks, isu yang diangkat melalui ruang yang dibina akan mengubah tubuh badan yang memberikan tenaga berbeza. Secara semulajadi anggota badan akan memberi tindak balas terhadap ruang yang akan menghasilkan emosi diri. Ruang, waktu dan isu menjadi idea dan konsep utama dalam kerja seni ini.
Karya Kumpulan: Untitled II - Wanita
Karya tari ini merupakan suatu kelangsungan dari permainan gerak dan gerak permainan atau “playing†berpandukan tema didalam isu feminisma dan wanita. Bertemakan wanita, tubuh badan akan mengekspresi dan menyampaikan mesej kepada khalayak. Eksplorasi kepada tema ini dikembangkan dan menghasilkan isu tentang wanita. Proses latihan akan mewujudkan satu focus kepada tema secara satu arah, mengambil seksualiti sebagai elemen penting di dalam pergerakkan. Walaupun tema wanita itu terlalu besar, proses penggalian terhadap tema itu akan menghasilkan satu persoalan utama di dalam konsep wanita.
Zulkifli Mohamad
Karya Solo: 1914/2004
Kedua-dua tarikh keramat ini adalah umpama menatap halaman ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ – mengenang kembali tahun 1914 dimana Tok Janggut menentang penjajah British bermati-matian sehingga tubuhnya dikelar empat belas dan dibawa mengelilingi Kota Bharu untuk ditayangkan kepada seluruh rakyat jelata. 2004 pula menyaksikan bagaimana beratus-ratus orang Melayu Muslim sebangsa seugama dengan kita dikorbankan di seberang sungai di sempadan. Persembahan ini menggunakan gabungan pancaran video dan gerak geri dramatis yang bersifat moden sambil berinspirasikan silat, asyik, mak yong dan manora.
Karya Kumpulan: Jadi Jawa Jawi
Penceritaan yang berinspirasikan asal usul dan pengaruh kerajaan-kerajaan lama nusantara di Semenanjung Tanah Melayu serta pengaliran imigran tanah seberang yang menjadi isu masakini. Persembahan ini menggunakan konsep minimalis dengan cahaya lampu pelita serta suara dari penari sendiri dan di jakstaposisikan dengan lagu dangdut dari radio transistor.
2 comments:
Muko pompuan tue mcm setanle...dia di rasuk oleh setan seni utk masyarakat ko???
kenape cakap macam tu, tak baiklah. Dia seorang penari kontemporari wanita yang baik di Malaysia. Dia seorang isteri dan juga seorang ibu yang baik. Dalam show lalak semuanya berlakon akan sebuah ketidakpuasan hati seorang insan, itu saja.
Post a Comment