Tuesday, August 18, 2009
Membicara Karya Tari "24102004"
Pertamakali karya ini dibikin adalah untuk dipentaskan bersama di dalam LALAK, terbitan bersama Svarnabhumi Studio dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dengan judul yang berbeza, iaitu 19142004 yang sebenarnya merujuk kepada dua peristiwa yang berlainan pada tahun 1914 yang merujuk kepada pembunuhan Tok Janggut di Pasir Putih dan dibawa ke Kota Bharu dan 2004 yang merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai di TakBai, Selatan Siam(Thailand). Sebenarnya 1914 bertujuan mencari pintu masuk sebagai seorang warga negara Malaysia, asal dari Kelantan, merujuk kepada kelompok manusia yang sama, bertutur bahasa yang sama "Kelantan-Pattani" yang awalnya merujuk kepada kerajaan lama, Langkasuka dan Pattani Besar yang menguasai jajahan utara Tanah Melayu dan Selatan Siam, sebelum negeri ini dipisah-pisahkan oleh penjajah pada tahun 1909 dalam Perjanjian Bangkok (Bangkok Treaty) antara Inggeris dan Siam. Inilah sebenarnya punca pergolakan yang berlaku. Dalam pementasan karya ini yang pertama di Panggung Bandaraya pada tahun 2005, dua buah skrin dipasang untuk menayangkan vdo yang dibikin khas oleh saya sendiri, tetang kedukaan hari yang duka itu, pembunuhan 100 orang muslim di Tak Bai. Tetapi apa yang dihidangkan bukanlah vdo pembunuhan yang teredar dimerata-rata tempat di Malaysia, tetapi pandangan langit yang mendung, gagak-gagak hitam yang lari dari hujan mencari perlindungan dan hujan yang lebat. Bunyinya pula di ambil dari rakam cello lagu klasik barat yang dimainkan oleh YoYoMa dan disusun semula mengambil bunyi gesekan rebab yang mendayu serta azan semasa pembunuhan, sesekali teriakan orang mengucapkan Allahuakbar! Allahuakbar! Manakala gerak-gerak yang diambil adalah begitu pedestrian sekali yang memperlihatkan gerak duduk, minum sirap merah dikerusi sambil menonton tv dan menekan-nekan remote control tv, mengambil tisu untuk mengesat airmata, membuka baju dan memakai baju. Selain vdo Tak Bai yang tersebar luas, pembikinan karya ini dipengaruhi oleh emosi rasa terhadap umat yang sama dengan saya, Muslim, Kelantan-Pattani tetapi berada dinegeri lain yang amat dekat, iaitu diseberang sungai. Karya ini juga dipengaruhi oleh lagu rap kumpulan Ahli Fikir dari Singapura, Tik Tok Tik Tok yang antara lain mengatakan yang kita hanya mampu menangis, memasang dan menutup suis televisyen, memerhatikan peristiwa yang berlaku di dunia, kita tidak melakukan apa-apa, apakah sumbangan kita, hanyalah airmata dan tisu yang kemudiannya dibuang ke dalam tong sampah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Lalak asalnya menampilkan 5 koreografer Melayu, mencari sesuatu yang baru di dalam karya koreografi kontemporary yang berasaskan tradisi Melayu. Saya menampilkan 3 karya, Jadi Jawa Jawi dan "19142004". Jadi Jawa Jawi merupakan karya untuk kumpulan yang melihat keperitan masyarakat imigran Indonesia.
Post a Comment