Sunday, December 31, 2006

Pelayaran Tukang Cerita


Perlayaran Tukang Cerita
Dr.Zulkifli Mohamad

Seorang teman menceritakan kisah seorang hamba Allah yang bertemu dengan Tukang Tilik kerana nasib yang menimpa dirinya di bumi sendiri. Selesai Tukang Tilik melihat gambar-gambar di kad tarrotnya, dia terus berkata yang hamba Allah ini tidak boleh mencari rezeki di buminya sendiri, malah menyuruhnya merantau menyeberangi lautan untuk mencari rezeki. Teman ini terus menjawab, Rasulullah juga menyuruh umatnya berhijrah untuk kebaikan. Dan begitulah juga yang dirasakan oleh teman yang seorang ini, seorang insan seni yang begitu sensitif dengan ruang lingkupnya.

Ise atau nama sebenarnya Roslisham Ismail, 34 tahun, dilahirkan di Kg.Kota, Kota Bharu, Kelantan, adalah lulusan Sarjana Muda Seni Halus dari UITM Shah Alam. Beliau adalah seorang seniman sepenuh masa dan pengasas kepada sebuah pertubuhan seni tanpa laba, Parking Projek.

Sewaktu menjejakkan kaki ke rumah-pustaka-studio Parking Projeknya di belakang Supermarket Fajar di Pandan Indah, Kuala Lumpur, beliau baru saja kembali dari residensi seninya di Gunnery Gallery, Sydney, Australia, sebuah projek residensi yang dikelolakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.

Sebelum Ise terpilih ke Sydney pada tahun ini, sudah ada tiga seniman Malaysia yang terpilih ke sana pada setiap tahun. Tapi ada yang berbisik mengatakan penempatan seniman di galeri tersebut agak terpencil sekali gus menyangsikan kewibawaan Ise untuk menyesuaikan diri serta menampilkan dirinya di khalayak seni di Sydney. Bagi Ise, itulah yang menjadi cabaran buatnya!

Bagi seorang seniman media baru berbaur seni pop, yang sering kelihatan begitu santai dan selamba ini, Ise bertekad untuk menampilkan diri dengan karya-karya segarnya di Sydney. Beliau yang pernah menjadi pensyarah sambilan di UiTM selama 4 tahun, banyak bertemu insan-insan seni lain yang begitu tinggi appresiasinya terhadap karya-karya Ise. Malah beliau begitu bertuah kerana bertemu seorang anak kelahiran Malaysia berbangsa tionghua yang menetap di Sydney, yang kebetulan menjadi lembaga pengarah di sebuah galeri, 4As, di mana dia mendapat peluang menghasilkan ciptaan-ciptaan barunya.

Beliau menamakan pameran solo pertamanya “Keluar 90 Hari” bersempena dengan penjelajahan seninya ke Sydney. Istilah ini juga mempunyai konotasi tersendiri di kalangan para pendahwah yang keluar dari rumahnya untuk menyucikan diri serta mencari ilmu baru. Sememangnya residensi seni ini membuka banyak jendela baru untuk beliau. Sebelum ini beliau telah menyertai beberapa program residensi seni di Ruang Rupa, Jakarta, Indonesia serta di Khoj, Delhi, India.

“Program residensi seni adalah sesuatu yang amat berguna kepada seniman, terutamanya seniman muda” ujar Ise. Beliau menambah “sepatutnya, seniman-seniman besar Malaysia, menjadi pembuka jalan kepada seniman-seniman muda untuk berkarya dan bukannya bertarung di medan yang sama di Malaysia”. Mungkin program ini masih baru di Malaysia dan tidak dinafikan juga yang ada birokrat besar seni kita yang tak mengerti istilah ini, apalagi kalau pentadbir seni kita bukannya dari kalangan orang seni atau pentadbir budaya. Program sebegini bukan hanya membuka minda anak muda kita tapi mempamerkan karya mereka ke mata dunia, sekali gus mengharumkan nama negara!.

Dalam berkesenian Ise berpendapat yang “membina jarangan adalah teknik baru yang penting”. Tak hairanlah kalau dia digelar sesetengah kelompok seniman sebagai Seniman Strategik!. Walaupun tidak menyangkal tohmahan itu, dia cepat-cepat menjawab “Seniman Media Baru harus pandai bermain dengan Media Massa sebagai bahannya, mengubah fungsi serta menungganginya menjadi sebuah nukilan seni yang jauh berbeza maknanya. Seniman harus pandai meletakkan dirinya dalam budaya popularnya atau berinteraksi dengan alam popnya”. “Kerana itulah saya tinggal di belakang pusat membeli belah yang di kelilingi pusat hiburan”!

Beliau juga telah banyak berkolaborasi dengan seniman-seniman dan galeri-galeri, seperti Paiman, Meme, Seniman Studio Svarnabhumi, Ruang Rupa Jakarta, House of Natural Fiber Yogyakarta, Galeri Maya, Galeri Pelita Hati, Yayasan Kesenian Perak, Galeri Shah Alam dan Balai Seni Negara. Bersama Nur Hanim Khairuddin beliau telah mengasaskan sebuah majalah seni visual, SENTAP, kini menjadi semakin popular, malah ke luar negara hingga ke Turkey, Jerman dan Jepun.

Karya-karyanya pula dilihat seperti menceritakan kisah perjalanannya sebagai seorang seniman, dari seorang seniman instalasi yang menyusun kerusi meja kanak-kanak sekolah ke pembongkaran kotak-kotak kertas yang berisi sampah kertas dalam karya 3M X 3M X 3M untuk penyertaannya dalam Bakat Muda Malaysia di Balai Seni Negara, beliau banyak meneroka watak, media dan fungsi barunya! Kalau di pameran Lightweight vs Heavyweight di Galeri Maya beliau menerokai karikatur manusia yang berkepala kota bersama anjingnya yang setia, di Galeri 4As di Sydney, beliau menjumpai watak alteregonya “Mmugo” yang akhirnya menjadi kawan baiknya.

Seniman yang pernah mendapat Honourable Mention dalam Philip Morris Art Award 2003 serta Special Mention dalam Bakat Muda Malaysia 2000 ini pernah mendapat liputan Seniman Muda di stesen RTM dan RSB di TV3. Beliau yang sering menjadi tarikan kepada anak muda berjiwa alternatif, kerana seninya yang santai dan mengembirakan hati, berfalsafah yang seni harus menggerakkan hati seseorang.

Ise yang menemukan karakter Wishing Tree di Sydney menegaskan yang beliau akan mengadakan pameran solonya di Australian High Commission pada awal tahun depan sebelum berkoloborasi dengan seniman Malaysia di Bangkok. Ujarnya pendek sebelum berundur “Nampaknya saya terus belayar mencari cerita baru untuk karya saya”!!!

No comments: