Thursday, January 04, 2007

Koreografer Jerman Di Malaysia

Cetus Minda Tari
Dr.Zulkifli Mohamad
Beberapa bulan lalu saya dikhabarkan oleh Goethe Institute yang Antje Pfundtner, koreografer Jerman yang sedang naik nama, akan datang berworkshop di Kuala Lumpur, di Istana Budaya di bawah pengawasan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Kebudayaan. Sayang sekali kalau peluang sebegini rupa tidak dimanafaatkan oleh kita semua di Kuala Lumpur dan di Malaysia, maklumlah jarang sekali kita menerima kunjungan yang sebegini rupa, apa lagi ada yang ingin memberikan ilmunya secara percuma.
Sayang juga kerana peluang ini hanya terbuka kepada Istana Budaya. Tapi mungkin juga ada baiknya, kerana ia dapat membuka minda para koreografer dan penari-penari Istana Budaya. Kalau dulu mereka ini di panggil Kompleks Budaya Negara, kini mereka hanya digelar Artistana, berkhidmat di Istana Budaya, mengisi ruang kosong yang ada dalam drama-drama, muzikal atau program muzik dan tari ethnik di situ. Kompleks Budaya Negara sudah lama ujud, sejak awal 1970an lagi, tapi malangnya hingga kita mereka masih belum ada organisasinya sendiri seperti jiran tetangga kita di Asia Tenggara, Singapore Dance Theatre, Philippines Ballet atau Cambodia Royal Ballet. Seharusnya setelah sekian lama, mereka sudah ada pengurus, direktor artistik serta para koreografer, penari danm programnya sendiri!
Mungkin inilah mulanya. Antje, 30 tahun, yang selesai kuliah tarinya di Essen-Werden pada tahun 1995 dan menyambung studi tarinya di Amsterdamse Hogeschool voor de Kunsten, Holland, serta menerima pelbagai biasiswa dan berhijrah ke New York untuk mencari pengalaman tarinya, berada di Kuala Lumpur selama lebih kurang tiga minggu. Selalunya, dalam tempoh yang sebegitu sudah mulai ada pertumbuhan untuk sesebuah produksi, dalam situasi sebegini, mungkin sudah lahir suatu kolaborasi antara koreografer kita dengan beliau.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama beliau mengadakan workshop tari di luar Jerman, pada tahun 2005, beliau mula berworkshop di Living Dance Studio di Beijing, China dan Critical Path, Sydney. Di Beijing juga beliau berkolaborasi dengan Wen Hui, koreografer dan pemilik Living Dance Studio, sebuah studio seni moden persendirian yang sering kali menampilkan idea-idea yang menentang pemerintahan komunisma. Critikal Path, walaupun dibiayai oleh Majlis Seni Australia, adalah sebuah organsisasi seni bebas yang tulus ingin menyemarakkan seni kontemporari di Australia, khususnya tari. Critical Path berkerjasama dengan Sydney Opera Studio. Kehadiran Antje di situ memberi peluang kepada koreografer itu untuk bertukar fikiran dengan koreografer lain di Sydney, Australia, seterusnya membuahkan karya-karya kolaborasi di Dance Studio,Sydney Opera House. Pada tahun depan belai akan kembali ke Sydney dan Melbourne untuk berworkshop dan berkolaborasi.
Di Malaysia, beliau berkerjasama dengan Goethe Institute dan Istana Budaya, sebuah pentas persembahan yang sekali gus produser dan pemilik kumpulan artis Artistana. Mungkin ini boleh menjadikan sebuah laluan yang mudah menghasilkan sebuah poduksi tari untuk dipertontonkan kepada umum. Walaupun datang dari latarbelakang budaya dan adat resam yang berbeza, Antje tidak kekok langsung untuk berkomunikasi dengan penari-penari Istana Budaya yang ratanya tidak mempunyai pendidikan seni tari kontemporari, sebaliknya kaya dengan pengalaman tarian Melayu tradisional serta tarian popular. Beliau adalah seorang koreografer yang banyak menggunakan bahasa tubuhnya dan begitu ekspresif.
Sebagai seorang guru, beliau begitu prihatin dengan pelajar-pelajarnya, banyak bersabar serta tidak jemu-jemu membuka jendela-jendela pemikiran baru untuk memecahkan pola pemikiran seorang koreografer yang mungkin terbatas atau tertutup kerana sebuah keadaan tempat kerja yang hanya memerlukan sesuatu yang khusus atau sebuah negara yang menyekat banyak pertumbuha kreativiti atau masyarakat yang banyak mengongkong gerak-geri ahli-ahlinya. Sayangnya tidak ramai koreografer yang berpatisipasi dalam workshop di Istana Budaya ini, koreografer luar dan persendirian pula tidak dipanggil bersama!. Mungkin juga ini adalah peluang eksklusif Istana Budaya.
Menurut Antje, keadaannya sebagai seorang koreografer bebas memberikannya peluang untuk menjadi lebih mobile dan bebas membuat pilihan untuk mengadakan penyelidikan ke negara-negara yang menarik atau berkolaborasi dengan seniman-seniman lain di dunia. Beliau sendiri telah banyak berkerja dengan ramai koreografer termasuk David Hernandez, Tony Vezich, Magpai Production Group in Hamburg, Michele Anne de Mey, Stephen Koplowitz, Felix Ruckert dan Joachim Schlomer. Mungkin mobility adalah sesuatu yang harus kepada seseorang seniman bebas persendirian. Pun begitu, Antje tetap dibantu oleh penolongnya, Olaf Reinecke yang begitu akrab di dalam proses krativitinya, manakala Ursula Teich pula bertanggungjawab di dalam urusan pengurusan, kontrak dan promosi.
Karya solonya Eigen Sinn yang banyak bermain dengan kata-kata dan gerak, seolah-olah menjadi pembuka tirainya sebagai seorang koreografer serta penari solo. Eigen Sinn diundang ke merata kota di Eropah, termasuk Amerika Selatan, Pakistan dan China. Karya solo ini juga membuka mata koreografer terkenal China, Wen Hui untuk berkolaborasi bersama di Beijing. Di Pakistan, beliau banyak berdialog dengan seniman-seniman di situ kerana ada beberapa babak dalam karyanya yang disensor oleh pihak pemerintah. Dari situ beliau mulai belajar memahami dunia Asia dan dunia Islam tanpa sebarang konfrontasi!
Mungkin Malaysia bakal menjadi destinasi seterusnya untuk beliau terus berkolaborasi dengan seniman-seniman tari dari perbagai budaya dan agama serta falsafah seni yang berbeza.

Dr.Zulkifli adalah seorang aktivis dan perunding seni budaya, aktif bersama Svarnabhumi Studio dan Arts Exchange in Asia(AXiA).

1 comment:

Anonymous said...

Pois e realmente um programa maravilhoso ver o desfile de 20 de setembro em Piratini. Em 2007 eu fui pela primeira vez assisti-lo e fiquei emocionada, e um desfile muito lindo feito com alma por cada um daqueles gauchos que la vivem. Vale a pena.