Sunday, April 26, 2009

KELANTAN ARTS EXHIBITION: BUMI ANGIN

BUMI ANGIN

Di mana bumi dipijak

Di situ langit dijunjung

Sejarah seni visual moden di Kelantan telah bermula sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua lagi, iaitu di zaman pemerintahan kolonial British Malaya. Selain pegawai-pegawai kolonial yang menggunakan lakaran, lukisan cat air, fotografi dan rakaman filem untuk merekodkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada ketika itu, terdapat juga para pengembara-pelukis yang menjelajah negeri-negeri di bawah British Malaya. Semasa Balai Seni Lukis Negara sedang mengumpulkan karya-karya awal Malaysia, nama-nama seperti Sir Frank Swettenham, George Giles dan William Samwell timbul bersama lakaran dan lukisan cat airnya di London. Di antara karya-karya tersebut terdapat sebuah lukisan cat air berjudul Sungai Pergau, Kelantan, bertarikh 1895 karya William Samwell yang menjadi perhatian. William Samwell mungkinnya salah seorang daripada pengembara-pelukis yang disebutkan. Karya-karya lukisan cat air William Samwell yang lainnya di dalam koleksi Balai Seni Lukis Negara termasuklah lukisan-lukisan landskap di Telubin, Singgora, Sau, Samui dan Legeh di daerah Selatan Siam, sebelum terpisahnya wilayah tersebut dari Negeri-Negeri Melayu di Semenanjung pada tahun 1909.

Terdapat beberapa orang pegawai kolonial yang begitu tertarik dengan kehidupan dan kesenian masyarakat tradisi Melayu Kelantan seperti Winsteadt, Sheppard dan Banks. Walaupun mereka-mereka ini bukanlah seniman, mereka adalah di antara pegawai kolonial yang giat meneliti, mendokumen dan menggalakkan penerusan tradisi kesenian Melayu di Kelantan. Kebanyakan karya seni yang terlihat di zaman itu, rata-rata memperlihatkan ketaksuban terhadap nilai estetika Inggeris abad ke lapan belas, yang lebih menjurus kepada landskap dan keindahan sebuah kedamaian dalam lukisan landskap cat air dan cat minyak.

Pendidikan seni lukis moden di kalangan orang-orang Melayu pula adalah sesuatu yang jarang ditemui. Apa yang menarik perhatian dari pemerhatian ini adalah penemuan pencetus utama dalam sejarah seni lukis moden Kelantan, iaitu Nik Mahmood Nik Idris atau dipanggil Cikgu Nik Mahmood yang timbul sebagai seorang pelukis dan pengajar seni lukis. Nik Mahmood Idris sudah mulai melukis sebelum Perang Dunia Kedua lagi, beliau seterusnya berjaya menyambung persekolahannya di Raffles College di Singapura. Sepulangnya beliau ke Kota Bharu, selepas Perang Dunia Kedua, beliau diberikan jawatan sebagai Nazir Sekolah.

Sebagai seorang yang berminat dengan seni lukis dan telah mendapat pendidikan seni lukis moden di Singapura, tercetus rasa tanggungjawab untuk mencurahkan bakti kepada anak bangsanya. Dengan ehsan beliau sendiri, beliau memulakan kursus seni lukis di Sekolah Melayu Padang Garong pada setiap hujung minggu untuk sesiapa yang berminat dalam seni lukis. Sekolah Melayu Padang Garong kemudiannya menjadi pusat pendidikan seni lukis pada musim cuti sekolah untuk guru-guru sekolah di Kelantan, sebelum kursus tersebut menjadi kursus wajib dan dipindahkan ke Maktab Perguruan Kota Bharu di Pengkalan Chepa dalam tahun 1970an. Ramai seniman-seniman Kelantan yang berguru dengan Nik Mahmood Nik Idris sebagai guru seni lukis mereka, termasuklah Nik Zainal Abidin, Khalil Ibrahim, Mokhtar Ishak, Yusuf Sulaiman, Ismail Mat Hussin, Wan Ismail Wan Jaafar dan Yusof Abdullah. Di antara lukisan-lukisan Allahyarham Nik Mahmood yang dapat dilihat termasuklah Gadis Desa (Cat Air, 1987,23.5 x 31.5cm) dan Gadis Peladang (Pastel, 1988, 39 x 30cm) di dalam himpunan Balai Seni Lukis Kelantan.

Salah seorang anak didiknya, Nik Zainal Abidin telah dianggap sebagai salah seorang seniman terawal di dalam seni moden abstrak di Malaysia. Beliau memperlihatkan bakat melukisnya di Sekolah Melayu Padang Garong, Kota Bharu Kelantan. Beliau kemudiannya menyambung persekolahan ke peringkat Sekolah Melayu Tinggi di Sekolah Cina Kota Bharu. Setelah tamat persekolahan beliau ditawarkan untuk bekerja sebagai artis di Muzium Negara oleh Tan Sri Mubin Sheppard, Pengarah Muzium Negara pada ketika itu. Hasil kerjatangan Nik Zainal Abidin terukir dalam lukisan mural Muzium Negara yang disiapkan pada tahun 1962. Apabila RTM ditubuhkan, beliau berpindah kerja ke Radio Televisyen Malaysia sebagai pelukis grafik di bawah kelolaan Mohd. Hoessein Enas (antara seniman awal Malaysia yang telah mengabadikan keindahan pemandangan di negeri Kelantan di dalam lukisannya  Gadis dan Tembakau, 1962).

Hakikatnya, pameran pertama beliau di Kota Bharu Kelantan pada tahun 1950 dan penghijrahannya ke Kuala Lumpur telah membuka jalan untuk memulakan kerjaya seninya serta membuka peluang untuk berkarya. Nik Zainal Abidin pernah menyertai Wednesday Art Group pada tahun 1955 dan menjadikan seniman-seniman terkenal Malaysia sebagai mentor beliau, antaranya termasuklah Chuah Thean Teng, Syed Ahmad Jamal dan Latif Mohidin. Sebagai seorang seniman yang banyak belajar melalui pengalaman, beliau menjadikan pengalaman kehidupannya di Kota Bharu Kelantan sebagai inspirasi untuk beliau berekspresi. Cerita Maharaja Wana dalam Wayang Kulit Kelantan, Mak Yong, Menora, Silat, Rebab, Rebana dan permainan tradisi serta seni tradisi Kelantan termasuk ukiran bangau pada perahu-perahu nelayan menjadi subjeknya di dalam berkarya. Nik Zainal Abidin juga begitu meminati seni lukis tradisi Bali dan mungkin sedikit sebanyak telah mempengaruhi falsafah seninya. Beliau dilihat sebagai seorang yang mempunyai jati diri yang tinggi kerana berani melihat ke dalam dirinya sendiri dan ke dalam budaya Melayunya tatkala ramai seniman moden dalam tahun-tahun 1950an dan 1960an hanya melihat ke barat sebagai petunjuk arah berkesenian. Beliau mula berpameran di Kuala Lumpur pada tahun 1953 sebelum menyertai pameran-pameran antarabangsa di India(1961), Saigon(1962), London(1963) dan Australia(1965). Beliau juga pernah memenangi pertandingan lukisan Joy of Living di Kuala Lumpur. Nik Zainal Abidin bersara dari RTM pada tahun 1987, namun beliau terus berkarya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1993.

Pendekata, pendidikan seni lukis yang dikembangkan di Sekolah Melayu Padang Garong untuk pelajar aliran Melayu menjadi pencetus utama di tahun 1950an dan berkembang ke sekolah lain di Kota Bharu termasuk Sekolah Cina Kota Bharu dan Sultan Ismail College. Pendidikan seni di peringkat sekolah menjadi terkenal kerana gurunya yang berbakat, mempunyai minat yang tinggi terhadap seni serta berdedikasi.

Kerajaan Bumi Merah

Di dalam sejarah China, Suishu ada menyebutkan tentang negeri yang bernama Chih Tu atau “Red Earth”(Bumi Merah) yang merujuk kepada negeri Kelantan. Pensejarah China pada tahun 607 masehi itu memerikan yang Chih Tu berada di sebuah lokasi di ulu Sungai Kelantan yang menghubungkannya dengan penghasilan emas di Ulu Kelantan dan Ulu Pahang. Chih Tu pernah mempunyai hubungan perdagangan dan diplomatik dengan negara China. Kawasan tengah Langkasuka ini hilang kepentingannya apablia Kiu Li (Kuantan) di selatan Langkasuka menjadi penting kerana hubungannya dengan Sungai Pahang. Keberadaan Kelantan di dalam kerajaan Langkasuka pula sukar untuk dipisahkan kerana posisi hubungannya dengan Pattani, di mana Pattani bukan hanya berdiri sebagai ibukota dan pelabuhan Langkasuka tetapi sekaligus sebuah negeri besar yang mempunyai lingua-franka yang sama dengan Kelantan, serta hubungan kekeluargaan di kalangan para pemerintahnya. Langkasuka juga dikatakan sebagai sebuah negeri yang bersujud kepada kekuatan kerajaan Funan, terletak di antara Cambodia dan Vietnam, di utara Teluk Siam sekitar abad pertama. Chih Tu, Pattani dan Kallah(Kedah) di dalam Langkasuka mempunyai fungsi yang tersendiri di dalam pemerintahan dan perdagangan yang berpandukan musim dan arah angin itu sehingga menarik perhatian kerajaan-kerajaan besar Asia Tenggara termasuk Sri Wijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera dan Chaiya, Siam, Majapahit di Jawa Timur serta Kesultanan Melaka sendiri.

Kerajaan Bumi Merah juga mempunyai sejarah pendudukan awal di rantau ini dan Gua Cha di daerah Gua Musang, Kelantan adalah termasuk di dalam tapak penemuan pendudukan awal budaya Hoabinhian di utara Semenanjung Tanah Melayu, juga termasuk dalam himpunan tapak-tapak di Vietnam, Thailand, Myanmar dan Utara Sumatera, 13,000 tahun yang lalu. Tapak penemuan tersebut adalah meliputi lindungan batu kapur yang paling penting sekitar Malaysia. Dalam zaman Neolithik, iaitu 2000 sebelum masehi pula timbul artifak dan seramik di Gua Cha dan Gua Musang yang mempunyai kesan gabungan masyarakat Mon dari barat utara dan Khmer dari timur utara Siam (Thailand dibentuk pada tahun 1934) yang menghasilkan budaya Ban Kao Khok Phnom Di di tengah-tengah negara Thailand sekarang ini. Mungkin ini terjadi hasil daripada penghijrahan pertanian kaum austro-asiatik dan pelayaran kaum austronesian. Kerana itulah adanya lakaran lukisan perahu di dalam gua-gua yang menghubungkan pelayaran dan penghijrahan dalam kehidupan mereka.

Di dalam “Hikayat Kelantan” pula, sejarah negeri ini memerikan cerita-cerita perpindahan dan perebutan kuasa di kalangan anak-anak raja Kelantan yang menjadi Sultan Pattani serta sebaliknya. Bumi Kelantan yang sentiasa bergolak ini tidak lekang dari perang, termasuk perang saudara sekitar tahun 1890-1900. Sultan Pattani yang terakhir, Sultan Abdul Kadir telah melarikan diri mencari perlindungan daripada bapa mertuanya, Sultan Kelantan dengan pihak British sewaktu baginda diburu oleh Raja Siam dalam pemberontakan pemisahan Pattani dan wilayah-wilayah Selatan Siam dari negeri-negeri Melayu Semenanjung pada tahun 1909. Pendekata angin perubahan sentiasa bertiup di negeri pantai timur yang penuh dengan sejarah tradisi dan budaya ini.

Rakyat negeri Kelantan pula begitu berbangga dengan gelaran Negeri Cik Siti Wan Kembang kerana zaman kegemilangan pemerintahan baginda yang begitu memartabatkan nilai-nilai kesenian di dalam kehidupan kerana kecintaannya kepada seni mengukir, menenun, membatik, menyongket dan menghasilkan wadah-wadah Melayu untuk tatapan seluruh rakyat jelata serta pedagang. Negeri pesisir pantai Laut China Selatan ini juga terkenal di kalangan rakyatnya dengan sejarah dan lagenda Puteri Saadong dari abad ke tujuh belas dan kisah Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dari awal abad ke dua puluh. Puteri Saadong yang terkenal dengan rupa-akal-budi, semangat kenegaraan dan kesetiaan terhadap suaminya, Raja Abdullah, menjadi inspirasi rakyat Kelantan. Kehilangan baginda puteri dari pandangan rakyat jelata untuk pertapaan dan pengabdian dirinya  menjadikan misteri kehidupannya sebuah cerita lagenda.  Sejarah perjuangan Tok Janggut pula menjadikan beliau sebagai seorang wira Melayu dalam menuntut kemerdekaan dari pihak British. Semangatnya menentang penjajahan minda dan budaya orang Melayu menjadikan beliau sebagai salah seorang nasionalis Melayu awal pada zamannya di awal tahun 1900. Pembunuhannya oleh pihak British dalam pemberontakan pada tahun 1915 tetap menjadi misteri kehilangannya. Kelantan kemudiannya diwar-warkan sebagai Serambi Mekah kerana pengembangan pengajaran Islam oleh guru agama terkenal, Tok Kenali (Haji Muhamad Yussuf). Inilah yang menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang banyak lagenda, mempunyai sejarah yang panjang, kaya dengan seni dan budaya serta ilmu agamanya. Keperibadian tokoh-tokoh telah mengabadikan simbolika yang kukuh, sekaligus menimbulkan pemikiran budaya yang dinamik.

Kelantan mula menjadi tumpuan para pengkaji sejarah, antropologi, politik, budaya dan seni, bermula dengan Skeat dan Anandale sekitar tahun 1890an, Jeanne Cuisinier dan Raymond Firths sekitar 1930an hinggalah kepada pengkaji barat yang lain termasuk William Malm, Amin Sweeney, David Wyatt, William Roff, Douglas Raybeck, Robert Winzeler, Clive Kessler, Richard Winsteadt dan Mubin Sheppard. Pengkaji tempatan yang berminat dengan Kelantan pada awalnya termasuklah pengkaji perintis dari Universiti Malaya seperti Ismail Hussein, Mohd Taib Othman, Nik Safiah Karim dan Kassim Ahmad. Manakala penulis rakyat Kelantan sendiri pula termasuklah Mohamad Nik Mohd Salleh, Ibrahim Nik Mahmood, Abdullah Al-Qari Haji Salleh, S.Othman Kelantan, Abdul Rahman Al-Ahmadi serta Abdullah Nakula.

Di dalam pengembaraan budaya Stewart Wavell yang tercatat dalam bukunya, Naga King’s Daughter (1963), banyak cerita tentang kehidupan masyarakat, misteri, seni dan budaya di Kelantan sekitar awal tahun 1960an dipaparkan. Kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, peristiwa ketegangan kaum pada 13 Mei 1969, Tahun Melawat Malaysia 1990 serta Pilihanraya Umum 1990 banyak membawa angin perubahan kepada negeri Kelantan, termasuklah perubahan budaya. Meskipun begitu, Kelantan tetap dengan gelaran Kota Bharu Kota Budaya, negeri yang penuh tradisi Melayu serta kuat mempertahankan martabat bangsanya di Malaysia sehingga digelar “Cradle of Malay Culture”. Pada tahun 2005 pula Kelantan telah memartabatkan Kota Bharu sebagai Kota Islam di Malaysia.

Kedudukan Kelantan yang dilihat sebagai terpisah dari permodenan dan jauh terpencil dari kesibukan kota metropolitan Kuala Lumpur, sering dijadikan penyebab kepada sebuah kehidupan tradisional yang konservatif. Walaupun Kelantan masih dipisahkan oleh kawasan perhutanan di sebelah barat dan selatan serta pesisir pantai Laut China Selatan di sebelah timur, negeri ini sudah dihubungi lebuhraya, jalan keretapi dan jalan udara. Musim tengkujuh yang membawa hujan pada setiap penghujung tahun terus meniupkan angin timur laut, manakala dua belas jenis angin yang meniup dalam tubuh manusia Kelantan, tetap menjadi misteri yang bermain dan membawakan simbolika dalam ceritera Dewa Muda.  Angin globalisasi pula semakin menghimpit, dan menjadikan Kelantan sebuah tembok kekuatan Bangsa Melayu.

Bumi Angin

Seni membatik dikatakan sudah bertapak di Mesir dan timur jauh sejak abad kelima lagi, pewarnaan batik indigo, kisaran beras dan abu pula sudah lahir di Yunan, Selatan China sejak beribu tahun lalu, tetapi pengembangannya di Asia Tenggara sering dikaitkan dengan pengaruh dari India ke Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu. Di Malaysia, batik sering disinonimkan dengan negeri Terengganu dan Kelantan serta pengaruh Jawa, padahal sebelumnya sudah ada peninggalan arkeologi yang menjelujuri budaya Mon-Khmer dari timur dan barat tanah besar Asia Tenggara di utara Semenanjung Tanah Melayu. Kedua-dua budaya ini akhirnya mengarah kepada kerajaan pertama Asia Tenggara, Funan dan asal usul bangsa Melayu Nusantara, Yunan.

Batik menjadi sebuah medium yang penting di dalam pembentukan seni visual moden di Malaysia, apalagi selepas peristiwa 13 Mei 1969, dalam pencarian sebuah identiti Malaysia yang dijadikan wadah integrasi nasional. Khalil Ibrahim yang menamatkan pengajian seni visual modennya di Central Saint Martin di London (1960-1965) juga pernah menjadikan medium batik wadahnya dalam berkarya sejak tahun 1966 sehinggalah tahun 1980. Malah ramai juga pelukis bukan Melayu yang menjadikan batik sebagai medium integrasi nasional, melihat kembali budaya bangsa. Tradisi ini juga turut dijejaki oleh seniman Kelantan yang lain seperti Yusuf Abdullah, Mohd Asri Mat Yaman, M. Zakaria Daud, Ismail Kadir dan Ismail Mat Husin. Karya-karya seni tampak dalam bentuk batik diketengahkan melalui karya Yusuf Abdullah, Wayang Kulit (1988), Mohd Asri Mat Yaman, Ayam Berlaga (1989), M. Zakaria Daud, Senjakala (1989). Ismail Mat Husin adalah di antara seniman Kelantan yang terus meneruskan menghasilkan karya-karya seninya dalam bentuk batik, Suatu Petang(1991), Market Scene(1991), A Mak Yong Performance(1979) dan Pantai Timur- East Coast I. Rata-ratanya karya-karya ini banyak bermain dengan imej-imej negeri Kelantan yang mungkin melahirkan sebuah rasa nostalgia terhadap sebuah kehidupan tradisional masa silam. Pun begitu tidak dinafikan yang kehidupan yang bersifat sedemikian masih ditemui di daerah perkampungan. Karya batik Khalil Ibrahim dalam Untitled(1972) dan Kolaj(1991) pula lebih bersifat moden, berbeza dari karya-karya batik yang dihasilkan sebelumnya, yang berlegar sekitar figura wanita Kelantan, permainan serta landskap desa dan laut, kedua-dua karya-karya ini lebih abstrak sifatnya, menggunakan warna-warna pastel. Begitu juga dengan karya Zaharah Ahmad Osman, Inspirasi Malaysia (1988) yang juga bereksperimen dengan konsep kolaj di dalam karya batiknya.

Mungkin juga boleh kita katakan yang Tengku Zubaidah dari Kutang Kraf menjadi pemula di dalam membawa konsep abstrak dan kontemporari di dalam pembikinan karya batik di Malaysia di awal tahun 1980an, dan seterusnya menghasilkan seniman-seniman batik moden termasuk Allahyarham Yusof Fadhil.  Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmud pula kembali meniupkan harapan baru dalam penciptaan batik di Malaysia sekitar tahun 2000-2005. 

Kini batik mempunyai nilai dan posisi yang berbeza dalam seni tampak, seni reka dan seni kraf, ianya mempunyai garis halus yang memisah antara ketiganya. Seharusnya batik tidak lagi dilihat sebagai hasil kerja atau artifak budaya tetapi sebagai suatu teknik tradisi atau ethnoteknologi kita dalam seni tampak negara.

Karya-karya realisma yang berasaskan prinsip-prinsip naturalisma Eropah yang diperkenalkan dalam seni lukis moden dan dilahirkan melalui  karya-karya lanskap, alam benda dan potret dalam cat air dan cat minyak, ianya mendominasi pameran ini. Karya-karya lanskap yang dilihat sebagai bersifat romantis dan sentimental menjadi istimewa kerana gaya mereka mengamati alam disekeliling mereka. Mungkin karya-karya sebegini masih menjadi perhatian peminat seni lukis di Kelantan serta para pengunjung ke negeri monsun timur laut ini, atau prinsip naturalisma kolonial Inggeris masih bertahan di era pasca modenisma ini. Antara karya lanskap termasuklah karya Mokhtar Ishak, Pulang Membawa Hasil (2006) dan Khalil Ibrahim, Malaysian Scene (1959), Membanting Padi (1960), Pemandangan (1960) dan Seascape (1989), dua pelukis yang pernah berguru dengan Cikgu Nik Mahmood Idris. Kedua-dua pelukis merupakan ahli dalam Malaysian Watercolour Organisation (MWO) dan Angkatan Pelukis Semenanjung (APS). Karya-karya lain termasuklah Mazlan Mustapha, Rezeki (2007), Nik Mahmood Nik Mat, Kedinginan Pagi Kampung Nelayan Pengkalan Petah (2005), Anuar Latif, Perjudian Bangau Lelah di Kuala (1989), Nik Jaafar Nik Abd.Hamid, Rumah Rakit (1990), Nik Ridzuan Nik Yusuf, Tirai Senja (1983), Mohd Azran Omar, Buluh Kubu (1988), Zaidi Yusuf, Kampung Atas Paloh (2005), Sabzali Khan, Pantai (2006), Haji Mohd Zawawi, bekas majistrate yang menggambarkan pemandangan lereng bukit serta satu-satunya pelukis Tionghua, Lee Hock Chiu yang menampilkan lukisan cat minyak, Kerbau dan Padang (2002). Lukisan cat air karya Ismail Kadir, Kampung Atas Banggol (2006) merupakan suatu pernyataan tentang rumah kedai kayu sebelum perang dunia kedua yang bakal dirobohkan untuk pembinaan projek pembangunan. Karya sebegini seringkali dilihat sebagai suatu nostalgia pada masa silam, tetapi sekaligus boleh menjadi sebuah kenyataan terhadap pengekalan khazanah warisan bangsa.

Lukisan-lukisan berbentuk figura seperti karya-karya Ismail Bukhary, Puja Umur (1958) Nik Zainal Abidin, Puja Pantai (1958),  Seni Melayu (1959), Azman Daud, Main Gasing (1988), Zakaria  Abdullah, Bersilat (1981), Fatmawatie Zakaria, Silat (1989), Mohd Daud, Uji Suara (1988), Abdul Rasid Jaafar, Rebana Ubi (2007), Abdul Hayu Hasan, Mak Yong (1988) dan Wan Ramli Wan Ibrahim, Gasing-Lawan (1982) menjadi sesuatu yang menarik perhatian kerana pada umumnya, tumpuan seniman di peringkat nasional terhadap lukisan figura menjadi berkurangan semenjak pengaruh revolusi Iran dan gaya hidup Islam di Kuala Lumpur di sekitar tahun 1980an serta arus abstrak dalam seni tampak kontemporari. Mungkin di Kelantan, lukisan-lukisan ini dilihat sebagai rakaman budaya yang penting untuk sebuah pemuziuman, apalagi setelah seni persembahan Mak Yong, tarian dan permainan tidak digalakkan dan seterusnya diharamkan untuk dipersembahkan dikhalayak ramai sejak 1991.

Meskipun begitu, jarang juga seniman yang menampilkan karya-karya bersifat Islamik yang klasik dengan ciri-ciri tulisan khat dan kaligrafi, hanya ada beberapa buah karya sedemikan daripada Wan Zahari Wan Yusuf, Seni Khat (1982), Saleha Abdul Kadir, Seni Khat (1989) dan Muhammad Daud, Allah Muhammad (2007) yang bersifat sedemikian. Karya media campuran Kamarulzaman, Terbuka dan Tersimpan (1998) dilihat seperti karya yang berbentuk Islamik, diinspirasikan dari rekaan senibina kerajaan Mogul di India. Manakala karya abstrak ekpressionisma Aswad Ameir pula dilihat seperti karya moden yang terinspirasi dari tulisan kaligrafi. Aswad Ameir yang merupakan graduan seni halus dari Central Saint Martin di London, mendapat didikan aprentis seni dari seniman seni tampak tersohor negara, Latif Mohiddin, yang dipengaruhi tulisan karya-karya sufi seperti Rumi. Karya- karya Aswad dilihat seperti karya-karya figura yang diabstrakkan, kadangkala dapat digambarkan seperti lukisan kaligrafi moden.

Jika dilihat pada sejarah seni tradisi, Kelantan mempunyai banyak tradisi mengukir, dari kayu, perak dan emas kepada kertas untuk pembuatan wau, tetapi penciptaan arca masih kurang, dan hanya terdapat empat karya arca ditampilkan dalam pameran ini, karya Alias Yusuf, Chini I (1988) yang menggunakan tembaga, aluminium dan cat air, Romli Mahmud, Stool Series (2006) yang menggunakan kayu kayan yang dihasilkan di Kelantan seperti angsana dan cengal serta besi, Azman yang menampilkan karya yang menyerupai lingkaran tulisan kaligrafi yang diperbuat dari gabungan gelang-gelang besi yang dipotong dan diselaputi cat enamel, serta Samsu Mohamad yang menampilkan karya seramik, Gunung Rheng (2006) yang bersangkut dengan tempat kehilangan puteri lagenda Puteri Saadong sewaktu berundur diri dari tahtanya sebagai raja yang memerintah. Di sini jelas menampakkan yang pengarca Melayu moden sangat terpengaruh dengan falsafah seni arca dalam Islam. Manakala karya instalasi video Roslisham Ismail, I Believe (2005) menampilkan bentuk empat dimensi dalam naratif bercerita, yang sekaligus menampilkan karya di luar garis konvensional yang dipaparkan dalam pameran ini.

Karya-karya abstrak dalam pameran seni tampak Kelantan menampilkan karya-karya yang menarik untuk dibicarakan, bermula dari karya Nik Muhammad Nik Hassan, Carnival time Rio De Jenario (1987) yang agak terpengaruh dengan aliran kubisma dan ekspresionisma, walaupun agak lewat jika dilihat dari pengaruh aliran tersebut ke negara ini. Karya-karya goresan asid (etching) Marizan Mahmood, Untitled (1988) dan Rosiah Md.Nor, Tanpa Tajuk (1989) pula menjadi menarik kerana pencarian kepelbagaian bentuk, begitu juga dengan karya  Nor Hanem M. Noor, Landscape Series (1988) yang menampilkan teknik monotype print seolah-oleh mempunyai hubungan yang dekat dengan karya Azhan Fadzil Abd.Rahman, Untitled (2006) yang tampil seperti lakaran ekspresi di dinding-dinding gua masyarakat pra-sejarah. Mohd Irudee Husin, Lakaran Diri (2003) pula dilihat seperti terpengaruh dengan abstrak ekspresionisma, manakala Sahidi, Journey to Flora and Fauna (2006) memerhatikan flora dan fauna, melapiskan warna-warna alam. Jika dilihat, kebanyakan daripada karya-karya abstrak yang ditampilkan datangnya daripada graduan-graduan seni halus dari Institut Teknologi MARA.

Karya-karya Md Hafizullah Said, Between two Generation “Born to Fight” (2007) yang melihat kehidupan ayam jantan yang sering dilihat sebagai ayam laga, Siti Sapura Zahuri, Main Putri “Narative II” (2007) yang meneliti visual tentang sebuah kebudayaan main peteri di kalangan masyarakat desa terpencil, karya Azian Hashim, Junjung Warisan (2007) yang menjejak warisan Melayu tradisi seperti rumah berukir, batik sarong dan artifak Melayu serta Wan Mohd Zulkifle Wan Yaacob, Layang-layang Putus Tali (2007) yang melihat kehidupan manusia kini yang semakin renggang dengan budaya tradisinya, masih menghubungkan diri mereka dengan tradisi.

Sebenarnya ikon-ikon budaya Kelantan berada di mana-mana di dalam pameran ini, samada ianya sebuah karya karya lanskap, figura, arca atau batik. Walaupun begitu karya-karya yang dihasilkan oleh Yusuf Sulaiman, salah seorang murid Cikgu Nik Mahmood di Sekolah Melayu Padang Garong adalah di antara seniman seni tampak awal di Kelantan yang banyak menampilkan ikon budaya dan sejarah. Karya beliau Petalawati (1983) yang menampilkan perarakan kereta berhias Burung Petalawati sempena perkahwinan Di Raja Kelantan di awal 1900 begitu menonjol, seperti juga dengan pertandingan sabong ayam dalam Belaga Ayam (1981) sudah diharamkan kegiatannya di Kelantan sejak tahun 1970an. Begitu juga dengan imej-imej dan ikon-ikon budaya yang lain dalam lukisan-lukisan Inche Abdullah Kadir, Roda-roda kehidupan II (1990), Wan Alwi Wan Idris, Beca (2007), Zakaria Abdullah, Kepala Perahu (1990), Ismail Bukhary Abdullah, Wau 1-4, Marzuki Muhamad, Semangat Melayu (2006) dan Saiful Hazri, Siri Kereta Sewa (2005). Karya-karya Noor Mahnun Mohamed, Siren Song (2004) yang berlatarbelakangkan Pantai Dalam Rhu, Saleha Abdul Kadir, Penantian (1989), Seni Khat (1989), Rosiah Md.Nor, Tanpa Tajuk (1989), Nor Hanem M. Noor, Landscape Series (1988), Zaharah Ahmad Osman, Inspirasi Malaysia (1988) dan Siti Sapura Zahuri, Main Putri “Narative II” (2007) adalah di antara seniwati-seniwati seni tampak Kelantan yang ditemui. Walaupun tidak semua di antara mereka yang menampilkan wanita sebagai watak utama dalam naratif penciptaan mereka, hasil kerja mereka seringkali mengaitkannya dengan kegiatan wanita seperti tekstil, batik dan perniagaan. Kedua-dua karya Nur Mahanum Mohamed dan Saleha Abdul Kadir memaparkan wanita-wanita yang sedang mengadap laut, seolah-olah menantikan sesuatu perubahan yang akan berlaku. Pendekata subjek wanita ini seharusnya di bicarakan, apalagi apabilanya ianya  sering menjadi topik hangat di dalam perbincangan politik dan seni di Malaysia. Wanita di Kelantan bukan saja menjadi tunggak penting dalam persembahan Mak Yong, Main Peteri dan Asyik, tetapi juga dalam di dalam sejarah dan kehidupan masyarakatnya, seperti pemandangan di Pasar Siti Khadijah dan peranan mereka dalam dunia perniagaan.Suatu pemerhatian yang menarik di dalam seni tampak Kelantan adalah bentuk karya-karya moden yang ditampilkan oleh seniman-seniman seperti Nik Zainal Abidin, Semar and His Lover (1962), Khalil Ibrahim, Untitled (1972), Fauzan Omar, Layer Series (1982), Ahmad Shukri Mohamed, Cabinet IV (1994), Din Omar, Antara Dua Hidangan (1991) Romli Mahmud, Batik – Monumen Siri (1993) dan Roslisham Ismail, No Sharing Kingdom! (2007), yang menggunakan tampil menggunakan teknik kolaj dan lapisan di dalam membentuk rupa serta pemikiran di dalam karya mereka. 

Pendekata karya-karya yang ditampilkan di dalam Pameran Seni Tampak Kelantan ini meliputi pelbagai bentuk, rupa dan gaya berasaskan falsafah tradisi dan moden, sekaligus mempamerkan keterbukaan di dalam berkarya dan berekspresi tanpa batas usia, bangsa, ruang lingkup serta pendedahan dan pendidikan.

 

 

 

 

 

 

 

2 comments:

zubin said...

Dulunya kata pameran ni nak bawak ke Kelantan, tapi dengarnya diam2 dah bawak ke Kelantan tanpa aku, kwang kwang kwang!

Anonymous said...

salam, saya berminat dengan karya petalawati (1983) by Yusuf Sulaiman yang brother katakan untuk thesis project saya..kalau boleh saya tahu, dekat mane saya boleh dapatkan copynya.. saya sertakan email, hope brother dapat membantu saya, farhanahsaedin@yahoo.com.my