Aku dalam rangka menulis sebuah kertas kerja yang dibuat dalam bentuk catatan perjalanan tentang Manora aka Menora aka Nora aka Nogho, sebelum aku terpanggil untuk menghadiri seminar Lembah Bujang di Sungai Petani dan seterusnya melihat penggalian2 Lembah Bujang dan muziumnya, seterusnya terus ke Muzium Alor Star untuk mencari bahan2 rujukan.
Nota Nora Langkasuka: Sebuah Catatan Perjalanan Sejarah Tari
Saya ingin bercerita tentang sebuah bentuk tari atau lebih jelasnya sebuah bentuk teater tari yang sangat unik, bukan hanya dari segi bentuknya, tetapi juga sejarah dan perjuangan serta falsafahnya. Bentuk tari yang saya maksudkan ialah Manora atau Menora. Di Kelantan ianya disebut ‘Nogho atau dalam bahasa surat, atau Bahasa Kebangsaan, Malaysia, dipanggil Nora. Pertama kali menonton Nogho ketaka aku masih kecik, mungkin dalam umur 6 tahun, sebelum aku belajar zapin. Aku dibawa oleh Ayah Saudara yang aku panggil "Ayah" kerana menganggap dia sebagai ayah, yang selalu mendengar, menunjuk ajar, mengajar dan membela kami didepan ayah sendiri. Dia anak seorang pawang terkenal yang menjalankan Main Peteri dan Bageh di sekitar Kampung Gertak Lembu dan Teluk Kandis, yang kita sebut sebagai Alik Ilir(Hilir), juga merujuk kepada arah sungai, dari kami yang berada di Kedai Salor, pertengahan antara Alik Ilir dan Alir Ulu. Ayah Saudaraku, Che Awang Jusoh, adalah seorang tukang rumah serta pandai membuat perahu, dia juga pandai membuat gendang, gendang panjang dan gendang marwah untuk berzapin. Satu malam dia membawa aku menonton Manora di Gertak Lembu, di bawah lembah berdekatan dengan Kota Salor yang sudah hilang dari penglihatan. Tapi pada ketika itu masih ada sebuah Wat Siam disitu (kemudiannya dipindahkan ke Kampung Pendek) tidak jauh dari Teluk Kandis. Sebenarnya tidak banyak yang aku ingat, cuma Ayah Awang memperingati akau untuk tidak melihat terus ke muka Raja di dalam manora, kerana takut diusik hantu. Kerana sudah pukul 4 pagi kami pulang dari menonton, aku terpaksa tidur di rumah Ayah Awang, di atas loteng rumah kedainya yang tidak jauh dari rumah aku yang juga sebuah rumah kedia papan dua pintu zaman sebelum perang dunia kedua. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir aku menonton Manora untuk masa yang lama sehinggalah di Kuala Lumpur pada tahun 1990an. Kemudian pada tahun 1998 aku sempat menonton himpunan seni persembahan Kelantan yang dikelolakan oleh Sutra Dance Theatre dan ditaja oleh Dato' Seri Effendi Nawawi di MATIC. Persembahan itu membawa aku kepada banyak persoalan tentang Menora dan Mak Yong, apalagi setelah Mak Yong, Manora, Wayang Kulit diharamkan di negeri Kelantan setelah PAS memenangi pilihanraya 1990. Persoalan2 dan pertanyaan tersebut telah membawa aku kepada sebuah buku "The Naga King's Daughter" oleh Stewart Wavel yang ditulis pada tahun 1965 setelah penjelejahannya bersama Kumpulan Oxford dan Cambridge pada tahun 1963 dan dinaungi oleh Tunku Abdul Rahman. Perjalanan tersebut bukan hanya membuka pemikiran tentang Menora, tetapi juga hubungannya dengan Langkasuka, Puteri Saadong, Main Peteri, Semangat Laut, Laut dan Angin serta Tasik Cini dan Orang Asli. Naga King's Daughter telah membuka perjalanan aku semasa bertugas di Bangkok (1998-2000). Termasuklah bengkel seni untuk sekolah rendah yang aku kelolakan di Nakhorn Sri Thammarat di Bahagian Utara Selatan Siam, berdekatan dengan Suratthani(pengkalan ke Koh Samui). Banyak yang ditemui di Nakhorn Sri Thammarat, dari Nasi Kerabu, Tukang Mas Kelantan, Kerabat Kelantan dan dibawa ke Nakorn dalam perjalanan ke Bangkok untuk dijadikan buruh semasa Rama I, Ramkamheng, serta juga bertemu guru-guru Manora. Untuk hari penutuh kami mengambil keputusan untuk mengadakan sebuah persembahan Manora di mana 13 orang penari pelajar menarikan tarian Menora, dan hati aku begitu gembira kerana aku tahu tarian tersebut tidak akan hilang, walaupun ianya tidak lagi berada dinegeri Melayu, tetapi negeri yang dulunya adalah negeri Melayu Ligor dan sebelumnya Sri Dharmanagara, tempat yang dikatakan di mana ugama Buddha dikembangkan, kemudiannya ditawan oleh Siam Ayutthaya dan menukarkan namanya kepada Nakorn Sri Thammarat.
No comments:
Post a Comment