Wednesday, February 29, 2012

Selipar Jepun, Kasut Tumit Tinggi



TWO PEOPLE TRAVELED FROM KOTA BHARU TO SINGAPORE IN 1970S, ENDED UP TALKING ABOUT WW2 IN KELANTAN AND MALAYA. INSPIRED BY MAKYONG STORYTELLING, A FORBIDDEN PERFORMANCE IN KELANTAN.

SELIPAR JEPUN WAS NOMINATED FOR BEST MALAY SCRIPT IN CAMERONIAN AWARD 2007.

STARING: ROSMAN ISHAK, ZAMZURIAH ZAHARI, AHMAD FIRDAUS CHE YAHYA,

SPECIAL APPEARANCE: FOO CHIWEI

“Selipar Jepun, Kasut Tumit Tinggi” adalah sebuah pertemuan dua manusia kerdil dari generasi berbeza dalam bas ekspress Kota Bharu-Singapura. Menampilkan kisah-kisah suka dan duka dengan momen-momen penuh dramatik. Perjalanan yang menemukan watak-watak gigih ini membawa kita ke zaman Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Teater Kontemporari yang berinspirasikan Seni Persembahan Melayu Tradisi Mak Yong ini menggabungkan elemen monodrama, geraktari, teater fizikal dan muzikal dengan menampilkan lagu-lagu klasik dari tahun-tahun 1950an, 1960an dan 1970an. Teater yang menggunakan loghat bahasa Kelantan, seperti pengucapan dalam Mak Yong Warisan Dunia ini cuba menggali keindahan bahasa Melayu klasik yang semakin luput dari dunia seni persembahan moden.

Watak-watak dalam “Selipar Jepun, Kasut Tumit Tinggi”

Shukri Haji Ismail, seorang lelaki lemah lembut, umur menjelang 40 tahun, seorang Mak Andam di kampungnya. Pertama kali berkunjung ke Singapura dan bertemu dengan seorang ratu penghibur, seorang yang banyak menempuh dugaan sejak Perang Dunia Kedua, kematian orang tua dan bertukar nama dari Kam Ai Loh, ke Kamil dan kemudiannya Kamilah.

Che Aminah, wanita yang sudah berumur lebih separuh abad, pernah menjadi penari istana sebelum Perang Dunia Kedua, sebelum jatuh cinta dengan askar perisik Jepun dan kemudiannya menjadi penari kelab malam di Kota Bharu dan menjadi perempuan simpanan pegawai kolonial Inggeris. Kedua-dua lelaki dalam hidupnya tak hidup lama. Beliau kembali lagi ke Singapura mencari seseorang yang dikasihi.

ZAMZURIAH ZAHARI – AKTOR. Watak: Che Aminah

Zamzuriah Zahari merupakan seorang graduan Diploma Seni Tari dari ASWARA dan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya. Beliau yang lebih dikenali sebagai penari dan koreografer ini, berasal dari Kelantan. Kini berkhidmat sebagai pensyarah sepenuh masa dalam Fakulti Tari ASWAR. Selain menguasai seni tari “Mak Yong” dan “Tari Inai Kelantan”, beliau juga menguasai seni persembahan “Mek Mulong”, sebuah lagi seni persembahan tradisonal. Beliau banyak pengalaman mempersembahkan beberapa repertoir “Mak Yong” - “Dewa Muda” (2001), “Dewa Indera Indera Dewa”(2003), “Raja Gondang” (2005), “Mak Yong Raja Gondang” (2007), “Anak Raja Gondang” (2008) and “Nik Kechik Dewa Muda” (2008). Menjadi koreografer untuk beberapa persembahan “Mek Mulung”, seperti “Dewa Kaca” (2009), “Malim Bongsu” (2010), “Cahaya Bulan” (2011). Beliau aktif di Aswara, Istana Budaya, Petronas Performing Arts Group dan jabatan-jabatan kerajaan. Beliau dianugerahkan Penari Bakat Muda, Seni Negara untuk pada tahun 2006. Zamzuriah aktif membuat persembahan dalam teater kontemporari tradisi seperti “Titis Sakti” (2009) di KLPAC, “Rebab Berbisik II”(2007), “Puteri Mak Yong”(2009), “Wad 301” (2010) dan “Mak Yong Punah” (2011). Zamzuriah pernah menjadi koreografer untuk program realiti pelakon “Pilih Kasih”. Terakhir beliau tampil sebagai Pelakon Terbaik dan Skrip Terbaik dalam Festival Monodrama DBP 2011.


ROSMAN ISHAK – AKTOR. Watak: Shukri Haji Ismail
Rosman Ishak pernah mengikuti Sijil Kreatif di USM(1994) sebelum menyelesaikan Diploma Teater di Akademi Seni Kebangsaan(1998) dan Sarjana Muda Seni Persembahan(Teater) di Universiti Malaya(2010). Beliau pernah berlakon di bawah arahan nama-nama besar seperti Krishen Jit, Joe Hasham, Khadijah Awang, Rahman B, Rohani Yusof, Ahmad Yatim, Hatta Azad Khan, Rosminah Tahir, Zahim Al Bakri dalam persembahan Mak Yong, Bangsawan dan teater kontemporari. Antara naskah-naskah teater terkenal yang pernah ditanganinya termasuklah “Intan Yang Tercanai”(Nordin Hassan). “Lantai T.Pinkie”(A.Samad Said), “Tempest”, “Hamlet”, “Oedipus”,“Mimpi Malam Panas” dan banyak lagi. Selain bidang lakonan, Rosman juga berjaya mempelbagaikan kepakarannya di dalam bidang teater seperti rekaan and pengurusan kostum, dan pengurusan pentas. Beliau banyak menjalankan kerja-kerja produksi untuk pementasan-pementasan teater Melayu. Kali terakhir beliau muncul sebagai pelakon adalah di dalam persembahan bangsawan “Alang Buana”(2011) arahan Mazlan Tahir di Panggung Dewan Bandaraya, terbitan Aswara dan jabatan Kebudayaan Negara. Rosman juga giat menjadi fasilitator bengkel lakonan dan vokal untuk Rumah Anak Seniman bersama Fauziah Ahmad Daud. Rosman merupakan pensyarah teras akademik di Aswara.

AHMAD FIRDAUS CHE YAHYA – AKTOR TARI: Pencerita
Ahmad Firdaus yang dilahirkan di Kemaman, Terengganu dikenal sebagai MakYong, mungkin kerana keserasiannya pada seni persembahan tradisional tersebut sewaktu mulai masuk belajar di Aswara. Graduan Diploma Seni Tari dari Aswara ini, sedang menyiapkan projek akhir ijazah sarjana mudanya di Aswara. Pada tahun 2009, beliau mengambil keputusan untuk belajar di Institut Kesenian Indonesia, Jogjakarta selama setahun. A.Firdaus banyak terlibat di dalam projek-projek Mak Yong, Mek Mulong, Bangsawan, teater kanak-kanak, filem pendek di Aswara. Beliau juga pernah muncul di dalam pementasan bersama Five Arts Centre, KLPAC serta Instant CafĂ© Theatre melalui teater “Air Con” sebagai pelakon. Sebagai koreografer beliau sudah tampil dalam program tv seperti “Mari Menari” dan “Sehati Berdansa” serta Konsert Alam Muzik M.Nasir pada tahun 2009. Firdaus juga pernah masuk bertanding di dalam tari kontemporari di Short + Sweet Dance Malaysia 2009 di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) 2009. Pendekata beliau telah membuka peluang untuk dirinya bukan hanya sebagai penari dan koreografer tetapi juga mulai berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Terakhir beliau berlakon di dalam telefilem “Rompakan Kabinet”.

FOO CHI WEI – AKTOR TARI: Kamilah dan Aminah
Pertama kali memegang watak yang sama dalam “Selipar Jepun” versi asal, pada tahun 2007 di Stor Teater DBP. Foo sebenarnya dikenali sebagai seorang artis grafik. Kesukaannya mengikuti kelas tarian klasik India di Sutra Dance Theatre membuatkan dia dikenali di kalangan penari dan koreografer. Selain itu beliau juga suka mengikuti bengkel tari Jepun, Buto. Pada acara KL Fringe’s World Dance Day di MAP Publika 2010, Foo diundang untuk mementaskan kreasi tarinya yang pertama. Kali ini Foo akan tampil dalam dua persembahan yang berbeza penampilannya. Selain bersama Sutra, Foo juga pernah membuat persembahan dalam karya Aida Redza dan Donna Miranda dari Filipina.

ZUBIN MOHAMAD – DIREKTOR/PLAYWRIGHT
Zubin Mohamad a.k.a Dr.Zulkifli bin Mohamad, lahir di Kota Bharu, Kelantan dan mendapat pendidikan di Sultan Ibrahim School, Institut Teknology MARA Shah Alam, Strathclyde University Scotland dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mula menulis puisi pada umur 13 tahun sewaktu menyertai Persatuan Penulis Kelantan. Beliau juga dilatih berzapin dan bersilat sejak umur 9 tahun. Mulai mengikuti Suasana Cultural Centre di bawah pimpinan Datin Azanin Ahmad pada tahun 1987 melalui produksi Seri Rama Siti Dewi, sehinggalah produksi Tun Fatimah pada tahun 1998. Sepulangnya dari United Kingdom, beliau menubuhkan kumpulan persembahannya sendiri di Kuching Sarawak, Svarnabhumi Studio pada tahun 1993. Zubin juga bertanggungjawab menubuhkan Jabatan Pengurusan Seni Budaya yang pertama di Malaysia di UNIMAS. Selain teater tari, beliau juga pernah berlakon di dalam karya Hatta Azad Khan, “Muzikal Tanah Air Api Angin” dan sitkom televisyen “Karim Karan” selama 13 siri. Beliau mulai aktif menulis dan mengarah seni persembahan sepulangnya dari berkhidmat di pusat seni dan budaya Asia Tenggara di SPAFA dan ASEAN, di Bangkok dan Jakarta pada tahun 2004. Banyak karya-karyanya diabadikan dalam teater tari, termasuk “Aku Binatang Jalang”(Emas Sepuluh) di Istana Budaya, “Lalak” di Panggung Bandaraya, “Tanah Serendah Sekebun Bunga”, “Selipar Jepun”(2007) dan “gebu Gembira” di Stor DBP serta Fringe Festival 2008, 2009, 2010 di DBP, Aswara dan MAP Publika. Karya-karya “Koleksi Sajak-Sajak 1979-81” yang diterbitkan oleh Jargon Books merupakan antologi puisinya yang pertama. Karya-karyanya ada juga dimuatkan di dalam “Ajen Perisikan Cinta(Sang Freud Press)” dan “Orang Macam Kita(Matahari Books)”. Skrip “Selipar Jepun” pula pernah dinominasi untuk “Best Malay Script” di Cameronian Award pada tahun 2007.

Karya-karya tarinya telah dipersembahkan di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Malaysia. Pada tahun 2011, karya “Hanuman” dipersembahkan di Culver Centre California dan di Georgetown Festival, “Pie in the Sky” di Judson, New York dan UDT, Texas. “Dancing for Raja” di Bangkok, serta bercakap tentang karyanya di www.tedxkl.com dan Jindal Law School di New New Delhi, India.

Dr. Zulkifli bin Mohamad adalah penerima anugerah Fulbright Award di University of California Los Angeles(UCLA) dan University of California, Riverside(UCR) 2010/2011 di Jabatan Tari dan jabatan Asia Tenggara. Beliau juga telah banyak menerima anugerah dari UNESCO, Ford Foundation dan Rockefellar Foundation. Selain itu beliau telah banyak diundang untuk memberikan kuliah dan berkarya di beberapa universiti penting di dunia termasuk Brown University, Yale University, Tokyo University dan Chulalongkorn University.

Kini Zubin Mohamad, pendidik seni, pengkritik seni, pengumpul seni dan tekstil serta pengkarya seni aktif menulis di akhbar internet www.themalaysianinsider.com dan berekspresi melalui blog-blognya www.saloranseni.blogspot.com,www.svarnabhumi.blogspot.com.

No comments: