Friday, March 02, 2012

Sinografi dan Set

Dipetik dari http://joemail87.blogspot.com/search/label/Sinografi



Set dan Prop adalah berasal daripada perkataan Inggeris yang definisikan 
sebagai dua perkara atau item yang berbeza di dalam seni persembahan 
teater yang menyokong atau mewarnai sesuatu adegan atau babak lakonan 
(scene). Terdapat perbezaan di antara dua elemen penting yang adakalanya 
mengelirukan dari sudut pendefinisian.

Teater mengistilahkan set sebagai bahan atau material yang bersifat tetap 

untuk sesuatu adegan lakonan yang memberi maklumat atau info kepada 
penonton secara fizikal atau wujud tentang sesuatu gaya atau konsep 
persembahan. Sebagai contoh, sebuah persembahan teater bangsawan 
atau gaya bangsawan memerlukan kerusi singgahsana untuk watak 
seorang raja yang berlatarbelakang sebuah dinding kayu yang mempamerkan 
dua bilah keris bersarung yang digantung bersilang dan sebuah pasu bunga 
di sisi kerusi singgahsana. Kerusi, dinding kayu, keris dan pasu bunga inilah 
yang dinamakan sebagai set di dalam adegan. Prop pula bermaksud setiap 
bahan atau material yang digunakan di atas pentas oleh pelakon. Sesetengah 
pendapat menyatakan prop adalah set yang bersifat bergerak dan boleh 
digerakkan. Contohnya, keris yang digunakan oleh pelakon di dalam teater 
bangsawan di dalam adegan pergaduhan adalah satu prop. Namun, set boleh 
bertukar menjadi prop apabila keris yang tergantung di dinding diambil oleh 
pelakon untuk digunakan di dalam adegan dan pasu bunga diangkat dan 
dibaling oleh pelakon.


SINOGRAFI TEATER
Rekabentuk, rekacipta, rekaan artistik, latarhias, tatahias, 
tatacahaya, seni rupa, kostum; banyak lagi penamaan dan 
terminologi muncul dalam arena seni persembahan untuk 
menerangkan rekaan visual yang dapat dilihat dalam produksi 
seni persembahan seperti teater, tari, muzikal dan muzik. 
Di antara terminologi yang ada, sinografi adalah merupakan 
terminologi yang tepat untuk digunakan sebagai mewakili 
keseluruhan bentuk seni visual yang dapat dilihat dalam 
sesebuah produksi ini iaitu rekaan pentas dan kostum, 
pencahayaan, susunatur ruang lakon, penggunaan ruang untuk 
aktor termasuklah persekitaran rekabentuk dalaman sesebuah 
panggung: apa saja kesan visual yang dapat dilihat di dalam 
panggung tersebut. Kepentingan sinografi boleh dianggap sama 
setara dengan teks: bila dialog mencipta seni percakapan dan 
tingkahlaku di pentas, sinografi mencipta seni visualnya. Sinografi 
mengingatkan bahawa perkataan yang lahir dari sesebuah teks 
tidah cukup untuk menghuraikan dengan sempurna makan sesebuah 
persembahan. Terminologi ini sudah digunakan di Benua Eropah dan 
Amerika sejak tahun 1800 lagi. Sejak kewujudan teater di zaman 
Greek dan seterusnya, ke zaman Renaisance pakar sinografi telah 
berlumba-lumba merekacipta visual untuk memantapkan sesebuah 
pementasan teater. Konsep sinografi secara keseluruhannya belum 
pernah diaplikasikan kepada dunia seni persembahan di Malaysia, 
justeru itu projek ini ingin mengorak langkah sebagai projek perintis 
memperkenalkan sinografi sebagai satu elemen yang penting dalam 
penerbitan sesebuah persembahan. Projek ini akan menekankan disiplin 
sinografi seperti kajian terhadap ruang, naskah (skrip), dramaturgi, 
warna dan komposisi, pengarahan, aktor serta khalayak (audien) 
dengan menggunakan teknik dari naskah ke ruang. Projek ini ingin 
menguji sejauhmana berkesannya sinografi dalam sesebuah pementasan 
teater, adakah elemen-elemen sinografi ini boleh membantu penerbitan 
sesebuah produksi teater di negara ini.

No comments: